Home Nasional Institusi pendidikan bawah KPM akan dibuka ikut takwim penggal persekolahan

Institusi pendidikan bawah KPM akan dibuka ikut takwim penggal persekolahan

Struktur sesi persekolahan negara yang baru sahaja dibuka boleh ditambah baik lagi selepas ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) serta kategori institusi pendidikan swasta (IPS) yang berdaftar dengan kementerian itu, termasuk sekolah antarabangsa, akan dibuka berdasarkan takwim penggal persekolahan dan institusi pendidikan bagi tahun 2021.

Dalam kenyataannya hari ini, KPM berkata takwim berkenaan boleh dirujuk di laman sesawang di www.moe.gov.my/takwim, manakala takwim bagi IPS pula adalah berdasarkan tarikh penggal persekolahan institusi masing-masing.

“Pembukaan ini melibatkan institusi pendidikan di seluruh negara termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” kata KPM.

KPM menegaskan bahawa pengoperasian kesemua institusi pendidikan adalah tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu serta Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi Dalam Norma Baharu.

Menurut kenyataan itu KPM akan sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian institusi pendidikan bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan.- BERNAMA