PADANG BESAR – Pemuda dan Puteri UMNO digalakkan supaya menceburi bidang keusahawanan bagi memajukan diri dan negara.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata UMNO Bahagian Padang Besar ingin memperkasa Pemuda dan Puteri UMNO dengan menggalakkan mereka menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
“Kita galakkan pemuda dan puteri UMNO di negeri ini terlibat dalam perniagaan kerana peluangnya sentiasa terbuka luas,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Sebelum itu, Zahidi yang juga Ketua Bahagian UMNO Padang Besar merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Puteri UMNO Bahagian Padang Besar di Dewan Shaari Jusoh, Mata Ayer.
“Jika dilihat di Padang Besar sendiri masih banyak sumber-sumber yang belum diterokai lagi dan kita akan berusaha membangunkan sumber yang ada seperti pelancongan dan sebagainya,” katanya
Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata agenda yang akan dibawa pada mesyuarat bahagian UMNO Padang Besar esok ialah menerangkan kepentingan kerjasama dalam Perikatan Nasional yang melibatkan parti Melayu.- BERNAMA