KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sebanyak 10 wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah meminta kuota pekerja asing secara terus daripada Kementerian Dalam Negeri.
Sinchew Daily melaporkan, permintaan melalui surat itu telah melanggar prosedur pengambilan pekerja asing biasa, yang sepatutnya mendapat lampu hijau daripada Kementerian Sumber Manusia terlebih dahulu.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, 10 wakil rakyat yang juga berperanan sebagai “ejen pekerja asing” itu telah didedahkan dalam laporan jawatankuasa itu dan kebanyakannya adalah dari UMNO.
Kah Woh berkata, mengikut prosedur biasa, majikan perlu mengutus surat kepada Kementerian Sumber Manusia bagi menyatakan jumlah pekerja yang diperlukan dan sektor pekerjaan mereka.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia hanya akan membenarkan permohonan selepas majikan telah mengiklan untuk mengambil pekerja tempatan terlebih dahulu.
“Tetapi banyak kes telah memintas prosedur biasa dan memohon secara terus kepada Kementerian Dalam Negeri.
“Jumlah permohonan yang menggunakan jalan pintas malahan lebih banyak berbanding jumlah permohonan biasa dan ini bercanggah dengan matlamat pengambilan pekerja yang asal,” katanya kepada Sinchew.
Kah Woh berkata, peranan orang tengah dalam pengambilan pekerja adalah tidak betul dan tidak patut.
Beliau justeru meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan ke atas isu tersebut.
Dalam pada itu, PAC mencadangkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri mewujudkan satu sistem bersepadu untuk mengurus dan mengawal pengambilan pekerja asing untuk memastikan data yang sepadan.
PAC turut mencadangkan supaya permohonan kuota untuk pekerja asing dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan. – MalaysiaGazette