KUALA LUMPUR – Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan melahirkan rasa simpati dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengeluarkan kenyataan tidak menggambarkan beliau sebagai pemimpin yang agak berpengalaman dalam arena politik serta ketua kepada sayap sebuah parti yang pernah menjadi tunjang kepada pentadbiran sesebuah negara.
Ketuanya, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan berkata, Asyraf seolah-olah tidak arif tentang apa itu semangat demokrasi terpimpin dan hak setiap warganegara dalam memilih wadah politik masing-masing.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Asyraf sedar bahawa setiap apa yang berlaku yakni penghijrahan ahli dari mana-mana parti kepada Bersatu tanpa ada sebarang gerakan khas atau paksaan mahupun desakan untuk mana-mana pihak berbuat sedemikian.
“Ketua Pergerakan Pemuda UMNO seorang yang terpelajar serta punyai pengaruh yang kuat maka saya syorkan lampirkan bukti yang jelas dan sahih sekiranya ada mana-mana ahli UMNO yang dipaksa atau didesak ataupun dibayar untuk menyertai Bersatu demi menjaga kredibiliti beliau.
“Amatlah malang bagi seorang pemimpin yang masyhur serta berprofil tinggi seperti beliau hanya sekadar mengangkat cerita kedai kopi dan membuat tuduhan tanpa asas demi semata-mata digelar hero dalam kalangan picisan kelompok tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam menerusi hantaran Facebooknya mendedahkan, Pemuda UMNO Malaysia tidak dapat memberi jaminan kerjasama dengan PPBM boleh kekal, sekiranya usaha mencuri dan membeli ahli UMNO masih berlaku.
Ketika memberikan peringatan itu, katanya, beliau melihat suasana hubungan UMNO dan PPBM di peringkat akar umbi ketika ini semakin panas dan getir akibat perbuatan itu.
Mengulas lanjut, Muhammad Amiin menambah, rentetan tuduhan itu juga seolah-olah Asyraf menafikan pegangan serta kebijaksanaan ahli UMNO itu sendiri yang mana membawa naratif bahawa ahli UMNO itu murahan dan mudah goyah serta senang dijual beli.
Soal beliau, apa kata akar umbi UMNO apabila seorang pimpinan tinggi parti sendiri mengukur kesetiaan ahli hanya setara itu.
“Nasihat saya juga agar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menghentikan segera polemik politik semata-mata untuk dilihat relevan dalam membela parti.
“Adalah lebih baik beliau menumpu kepada pemerkasaan akar umbi selain merangka program-program yang boleh menyumbang kepada pemerkasaan kerajaan selain membantu rakyat daripada mencari dan menimbulkan persepsi negatif sesama rakan gabungan dan kadang kala beliau seakan bertindak sebagai “tukang alok” kepada pembangkang,” katanya.
Muhammad Amiin menegaskan, natijah lain juga hasil daripada kenyataan Asyraf turut menggambarkan seolah-olah UMNO kini mengalami krisis keyakinan dalam kalangan pimpinan terhadap sokongan akar umbi.
Pada masa sama ujar beliau, ia menonjolkan lagi UMNO kini sedang bergolak di mana ada kem yang berpendapat begini, ada pihak yang berkata demikian serta ada kelompok yang seakan menentang arus prinsip yang telah disepakati oleh parti sendiri.
Beliau berpendapat agar UMNO menyelesaikan dahulu pertikaian dalam kalangan keluarga mereka sebelum mengheret parti lain untuk bertelagah dengan mereka.
“Saya dengan rendah diri ingin sekali menyeru Asyraf bersama berlapang dada dan lebih memfokus kepada muafakat sebagaimana yang dianjurkan oleh agama daripada mencari salah sesama kita.
“Marilah bersama kita Bersatu hati membela nasib rakyat dan bangsa dari kita terus mencari titik pertelagahan sesama kaum. Bersatu untuk Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette