Home Pendapat Cubaan rampas cawangan, beli ahli UMNO serius

Cubaan rampas cawangan, beli ahli UMNO serius

Mohd Asna Amin

NAMPAKNYA, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ingin melebarkan lagi pengaruhnya dengan memperbanyakkan cawangan-cawangan PPBM di seluruh Malaysia.

Cawangan yang mereka maksudkan hanya kawasan-kawasan UMNO, kawasan Pas tak boleh, sebab kerusi PAS kerusi haram disentuh, yang mereka nak, hanya kerusi UMNO.

Hari ke hari, mereka semakin kuat, semakin mencengkam, pandai mengambil segala peluang yang ada bagi menyelamatkan hayat politik mereka.

Lihatlah, dalam ramai pengalisis menjangkakan mereka tergolek ketika pengundian Belanjawan 2021, mereka menggunakan istilah ‘Pengkhianat Rakyat’ dalam usaha menyelamatkan bajet mereka.

Ayat pengkhianat bukan keluar daripada mulut mereka, tapi menggunakan mulut sahabat baik mereka yang berada dalam UMNO. Maka terselamatlah Perikatan Nasional (PN) dalam ujian paling getir yang pernah mereka hadapi.

Bila Datuk Seri Najib Razak memberi amaran akan menarik sokongan belanjawan sekiranya tuntutan UMNO tidak dipenuhi, mereka serang Datuk Seri Najib dengan mengatakan beliau ingin lepaskan diri daripada rayuan hukuman penjara. Najib pengkhianat kepada mandat rakyat.

Kalau Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula bersuara untuk mempercepatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mereka serang presiden mengatakan presiden ingin lepaskan diri daripada tuduhan di mahkamah.

Datuk Presiden juga pengkhianat. Datuk Seri Presiden pentingkan diri.

Ini taktik sudah lapuk. Ahli UMNO sudah tidak percaya lagi kepada PPBM. Parti itu ditubuhkan untuk menghancurkan UMNO.

Sekiranya Datuk Seri Presiden terus tunduk kepada PPBM, beliau akan menghadapi tekanan kuat daripada akar umbi UMNO pula. Suara-suara Pergerakan Pemuda UMNO sudah mula kedengaran.
Datuk Seri Presiden jangan lupa, 137 daripada 191 UMNO

Bahagian menolak meneruskan hubungan bersama PPBM pada Ogos lalu. Kini, makin banyak Bahagian-Bahagian UMNO yang tidak bersetuju untuk terus bersama dengan PPBM.

Datuk Seri Presiden hendaklah mengambil keputusan berdasarkan suara akar umbi. Jangan takut kononnya akan dilabel pengkhianat rakyat.

Ini kerana keputusan itu bukan keputusan presiden, tetapi itu keputusan akar umbi UMNO yang ingin melihat parti ini kembali menjadi kerajaan.

Jangan dilupakan rakyat, ramai yang tahu dan mungkin ramai tidak tahu, sejurus sahaja UMNO kalah, Datuk Seri Zahid dipanggil oleh Pengerusi PPBM ketika itu untuk membubarkan UMNO dan memujuk semua Ahli UMNO agar pindah masuk ke dalam PPBM.

Dengan ketegasan Datuk Seri Zahid yang menolak cadangan Pengerusi PPBM ketika itu untuk membubarkan UMNO, maka akibatnya 87 pertuduhan dihadapkan kepada beliau, 10 hari sahaja selepas menolak cadangan busuk Pengerusi PPBM ketika itu.

Pendakwaan terhadap presiden adalah pendakwaan terpilih. Pendakwaan bagi menghancurkan imej Presiden UMNO itu sendiri. Sekiranya Datuk Seri Zahid bukan presiden UMNO, sudah tentu beliau sekarang sudah senang-lenang menjadi menteri.

Begitu juga pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib. Satu demi satu terbongkar berkenaan tuduhan terhadap Datuk Seri Najib. 1MDB mula menjadi mitos.

Rakyat mula kenal yang mana pemimpin sejati, yang mana pemimpin balaci.

Hari demi hari kebencian akar umbi UMNO semakin bertambah terhadap PPBM, apatah lagi dengan niat PPBM ingin bertanding lebih banyak kerusi pada PRU15 nanti dan niat mereka ingin menambah ribuan cawangan di kawasan-kawasan milik UMNO.

Peringatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkenaan lambakan wang bagi memujuk ahli UMNO untuk pindah ke dalam PPBM dan juga bayaran bagi membuka cawangan-cawangan PPBM tidak boleh diambil ringan. Sesuatu mesti dilakukan.

Perwakilan di semua bahagian bersidang sejak Jumaat hingga hari ini hendaklah membawa usul dan membincangkan perkara yang dibawa oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia ini.

Majlis Kerja Tertinggi UMNO pula hendaklah berani mengambil satu keputusan drastik bagi menyelamatkan parti ini. Kini ular lidi sudah jadi naga. Naga pula bisa saja menguburkan UMNO. UMNO bangkitlah.

Hj Mohd Asna Amin
Penasihat Kehormat Pertubuhan Ekonomi Islam Malaysia
Ahli UMNO Bahagian Seremban.