PUCHONG – Perjumpaan yang sepatutnya berlangsung di antara peniaga gerai di Puchong Permai dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud di kiosk tapak sepatutnya mereka dipindahkan dari kawasan asal bertukar menjadi kecoh petang tadi.
Kekecohan berlaku apabila lebih kurang 16 peniaga gerai yang antaranya berniaga tapak yang telah dirobohkan baru-baru ini tidak berpuas hati dengan penjelasan Siti Mariah.
Kehadirannya tidak dialu-alukan oleh para peniaga itu kerana Siti Mariah tidak muncul ketika beliau diperlukan pada 28 Disember yang lalu.
“Sekarang baru turun, masa dirobohkan YB di mana,” kata mereka.
Penjelasan demi penjelasan Siti Mariah tidak didengari sehingga berlaku pertikaman lidah di antara peniaga yang mendakwa periuk nasi mereka terhenti dengan perobohan gerai oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Keadaan yang tegang memaksa pihak polis campur tanganĀ untuk meredakan situasi.
Oleh kerana penjelasannya tidak didengar, Siti Mariah kemudian meninggalkan tapak kiosk itu selepas mengadakan sidang media.
Dalam pada itu Pengerusi Persatuan Peniaga Puchong Permai Ismail Awang yang turut hadir berkata, alasan merobohkan tapak geraiĀ iaitu untuk melebarkan jalan ekoran kesesakan lalu lintas adalah tidak munasabah.
Beliau yang sudah berniaga hampir 20 tahun di kawasan itu menegaskan tidak berbangkit isu kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
“Dengan sengaja mengatakan kawasan itu sesak untuk halalkan cara supaya nak robohkan gerai. Itu sahaja permainan yang
kami nampak. Kawasan itu asalnya tidak ada jalan, kawasan lapang jalan menuju ke masjid adalah jalan buatan sendiri bukan dalam perancangan, kalau jalan sesak ia melibatkan jalan depan (jalan besar)” katanya.
Ditanya tentang kesalahan pelanggaran menyewakan lesen sementara kepada peniaga lain, Ismail menafikannya dan sebaliknya berkata, bancian yang dilakukan oleh MPSJ tidak tepat.
“Memang kebanyakan peniaga jalan sendiri perniagaan mereka, bancian masa dilakukan hanya sekejap, macam mana tahu ada yang sewakan tidak bermakna orang lain jaga gerai bermaksud pemilik lesen sewakan kepada orang lain.
“Apa yang saya tengok peranan MPSJ ini seolah-olah 50 tahun ke belakang, itu bermasalah. Kita patutnya bertindak 50 tahun ke hadapan,” tambahnya.
Dalam pada itu Persatuan Peniaga dan Penjaja Selangor, Nozar Che Nor pula berkata, tindakan merobohkan tapak gerai kawasan Puchong Permai sepatutnya ditunda ke pada satu masa yang sesuai memandangkan pada waktu ini golongan peniaga kecil terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Kenapa sekarang, nantilah dulu, orang nak cari makan sekarang ini musim susah nak cari makan,” katanya.
Selain itu Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah yang turut hadir memberi amaran kepada Datuk Bandar untuk segera menyelesaikan isu ini.
“Saya akan ke pejabat Datuk Bandar kalau isu ini tidak selesai esok. Kalau tidak dapat jumpa mungkin perlu ke rumahnya,” katanya lagi.
Pada 28 Disember lalu, lebih 100 anggota penguat kuasa termasuk MBSJ, PDRM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat dalam operasi perobohan gerai-gerai makan milik 43 penjaja kecil di Puchong Permai.
Pada ketika itu sekumpulan penjaja terbabit terpaksa bergelut dengan penguatkuasa yang bertindak melakukan perobohan gerai makan yang diusahakan sejak 20 tahun lalu. – MalaysiaGazette
Hebat sejak 20 tahun yang lalu telah berniaga di tempat yang sama. Amaran demi amaran notis diedarkan masih berdegil dan tidak berjumpa ADUN berkenaan bagi minta bantuan. Macam macam alasan diberi seperti kasihan ibu tinggal, pandemik covid-19 dll. Siapa yang cakap benar pun tak pasti. Penafian dan perlindungan seperti kes Asri Janggut di Sg buloh