TIADA laporan sambutan tahun baharu, gambar percikan bunga api pada tanggal 31 Disember 2020 dan awal pagi 1 Januari 2021 di dada-dada akhbar, media sosial mahupun media elektronik kali ini.
Yang ada hanyalah laporan mesyuarat perwakilan UMNO di seluruh negara secara serentak pada 1 hingga 3 Januari 2021. Aura dan gelombang merah kembali menular ke media dalam negara setelah ia seolah-olah ‘hilang seketika’ ketika parti berkenaan menjadi pembangkang selama 22 bulan.
Kemunculan UMNO kali ini ternyata tidak serupa. Ia tentu sekali berkongsi kuasa dan pengaruh bersama-sama Pas dan Bersatu dalam suatu kolektif bersama yang diberi nama Perikatan Nasional atau PN.
Jangan kita bersikap hipokrit lagi, sudah terang lagi bersuluh mesyuarat perwakilan UMNO kali ini banyak yang membicarakan tentang bagaimana PN mahu berhadapan dengan realiti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Malah, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah berterus terang memberitahu umum bahawa parti terbesar dalam kerajaan ini mahukan PRU15 dilaksanakan segera.
Takut virus Covid-19? Kenapa nak takut tanya Dr Ahmad Zahid, sedangkan sudah lebih 30 buah negara di dunia ini telah selesai dengan selamatnya menganjurkan pilihan raya mereka masing-masing.
Persoalannya, adakah PN yang diketuai oleh Bersatu pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin takut terhadap proses pembahagian kerusi PRU15 yang tidak akan memihak kepada partinya sendiri?
Dalam menentukan soal asas ini, kita harus peka terhadap tujuan PN bertanding dalam PRU15. Adakah ia berkisar kepada cara menunjukkan kuasa parti komponen dalam PN, atau ia bertujuan untuk membentuk sebuah kerajaan yang memiliki kekuatan dua per tiga dalam Dewan Rakyat?
Sudah tentu jawapannya adalah untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat, seperti mana yang pernah dimiliki oleh Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu. Di mana, pihak pembangkang tidak mampu ‘muka mulut’ lebih untuk melawan, akibat daripada hampir semua kerusi yang ada di dalam dewan itu diisi oleh wakil dari BN.
Jika begitu asal tujuannya, maka PN harus berjiwa besar dan meletakkan matlamat menang besar sebagai perkara utama. Dengan cara ini, perkara-perkara sampingan wajar untuk diketepikan seketika.
Proses memilih dan meletakkan calon PRU15 bagi mewakili PN pula harus mengikut suara dan selera mereka yang akan mengundi di kawasan berkenaan. Bukan memilih dan meletak calon mengikut selera ketua parti atau atas alasan kuota parti.
Mungkin ia agak pahit untuk ditelan, namun itulah hakikat yang harus dijadikan sandaran Pengerusi BN, Presiden Pas dan Presiden Bersatu.
Dalam hal ini, kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias benar-benar menarik minat saya selaku pemerhati.Semuanya mengikut siapa pilihan pengundi di kawasan itu kata Jalaluddin.
Jika ada kawasan yang UMNO ‘menjuarai’ di situ, maka Pas dan Bersatu wajar untuk memberi kerjasama. Begitu juga di lain-lain kawasan, jika Pas atau Bersatu dilihat diterima rakyat di situ, maka UMNO atau BN perlu memberi kerjasama baik di situ.
Apapun kembali kepada tujuan utama PN dalam PRU15 iaitu mahu menang besar sehingga mampu menjadi sebuah kerajaan yang kuat, susah digoyang.
Keputusan hanya ada di tangan para pemimpin atasan parti. Jika mahu menang besar, sila letak calon berdasarkan selera pemangkah di atas kertas undi, bukan mengikut selera nisbah kuota parti-parti komponen dalam PN. Jika tidak, berhadapanlah dengan pelbagai keputusan undian yang akan dicorakkan oleh para pengundi pada hari membuang undi nanti.
Sarfarizmal Saad
Pemerhati isu-isu semasa