Home Politik Kerjasama: Dalam politik tidak ada mustahil – Tajuddin

Kerjasama: Dalam politik tidak ada mustahil – Tajuddin

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. foto AFFAN FAUZI, 04 JANUARI 2021.

KUALA  LUMPUR – Tidak mustahil untuk UMNO bekerjasama dengan mana-mana parti  politik termasuk dengan PKR, DAP dan Parti Amanah Negeri (Amanah).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana dalam politik, adalah tidak mustahil sesebuah parti saling bekerjasama antara satu sama lain.

Apatah lagi, katanya, bila rakan kerjasama politik UMNO tidak lagi setia dengannya.

“Apa sahaja boleh berlaku dalam politik.

“Kalau UMNO hilang kawan, kawan nak makan kawan, kena cari kawan baru. Kalau sudah tolak di sungai nak mati, kamu buat apa, carilah tempat nak berpaut.

“Kalau UMNO berada dalam keadaan ditekan dan masalah survival kita perlu cari rakan baharu, dalam mencari rakan baharu ia boleh sesiapa sahaja,” katanya ketika sidang media hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Blog Malaysia Today bahawa akan wujud satu gabungan dikenali sebagai Pakatan Barisan di antara BN, PKR, DAP dan Amanah.

Bagaimanapun Tajuddin berkata, UMNO hanya akan bekerjasama dengan pihak yang tidak mengganggu agenda perjuangannya.

“Apa juga pendekatan yang diambil, dengan siapa nak bekerjasama matlamat perjuangan UMNO tidak akan dikompromi, agenda Melayu, kedudukan Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu tidak dikompromi.  Jika semua agenda yang diperjuangkan UMNO tidak dikompromi kenapa tidak bekerjasama dengan sesiapa sahaja,” tambahnya.

UMNO, katanya, perlu bangkit menjadi sebuah parti yang hebat dan perkasa. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.