LONDON – Frank Lampard tidak risau masa depannya di Stamford Bridge yang kini berada dalam tanda tanya dan berdepan risiko pemecatan.
Ini kerana kekalahan keempat berturut-turut dalam enam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris selepas tewas 1-3 kepada Man City awal pagi tadi meletakkan bekas pemain the Blues itu dalam spekulasi untuk dipecat.
Tidak sampai 24 jam selepas tersungkur di halaman sendiri dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, laporan di London mendakwa pengasas kelab itu mula mencari pelan alternatif membetulkan segera keparahan itu.
Kini kelab itu menduduki tempat kelapan dalam carta liga domestik itu.
Sebelum ini the Blues dibelasah Everton, Wolves dan Arsenal dan seri dengan Aston Villa.
Chelsea dikatakan sedang mencari pengurus baharu menggantikan Lampard berikutan prestasi hambar di bawah kendaliannya sejak awal musim ini termasuk empat kekalahan berturut-turut dalam enam perlawanan setakat ini.
Pembelian Timo Werner dan Kai Havertz dengan nilai pelaburan yang besar Ogos lalu menjadi kebimbangan kelab mengenai prestasi mereka yang tidak menepati jangkaan kelab.
Werner yang pernah menjaringkan 28 gol dalam 34 perlawanan bersama RB Leipzig dalam Bundesliga Jerman musim lalu masih gagal menemui rentak dalam EPL.
Malah pembelian pemain pertahanan seperti Thiago Silva dan Edouard Mendy pula juga gagal memenuhi kehendak kelab sehingga menerima kritikan hebat.
“Saya memahami saat kamu mengalah dalam beberapa perlawanan dalam tempoh singkat sehingga semua mempertikai dan mempersoalkan prestasi pasukan dengan jumlah dana yang dibelanjakan setakat ini.
“Saya dapat merasakan bahang itu, tapi saya tak mahu komen apa-apa mengenainya, saya hanya mahu terus fokus kepada tugas membina pasukan.
“Jika saya utamakan kritikan dari pihak luar, ia hanya akan membantutkan fokus dan usaha saya membina semula Chelsea sebagai pasukan mantap,” ujar Lampard.-MalaysiaGazette