Home Dunia Mesir siasat dakwaan kematian 4 pesakit Covid-19 akibat kekurangan oksigen di hospital

Mesir siasat dakwaan kematian 4 pesakit Covid-19 akibat kekurangan oksigen di hospital

Gambar Hiasan
Gabenor wilayah Sharqia menafikan dakwaan salah seorang ahli keluarga pesakit itu bahawa kematian disebabkan kekurangan oksigen di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital milik kerajaan yang merawat pesakit Covid-19.
Gabenor Mamdouh Ghorab berkata, pesakit tersebut meninggal dunia akibat penyakit kronik yang dihadapinya selain virus itu.
Waris pesakit itu yang merakamkan video tidak menunjukkan bukti untuk menyokong dakwaan bahawa hospital tersebut kehabisan bekalan oksigen, lapor AP.
Mesir yang merupakan negara di rantau Arab yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai, lebih 100 juta orang, berhadapan dengan peningkatan kes virus tersebut dan terdapat gesaan agar kerajaan melaksanakan perintah berkurung untuk mengekang gelombang kedua pandemik tersebut.
Pejabat Pendakwa Raya Sharqia berkata, mereka sedang menyiasat kematian tersebut.

Pengarah hospital dan para doktor terbabit disoal siasat, menurut seorang pegawai di Pejabat Pendakwa Raya di Kaherah yang tidak mahu dikenali kerana tidak mempunyai kuasa untuk membuat taklimat kepada media.

Menurut media tempatan, daripada jumlah korban itu, dua adalah wanita yang berumur dalam limgkungan 60-an dan dua lelaki berumur 76 dan 44 tahun.

Kini terdapat 36 pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di wad pengasingan di hospital itu, kata Gabenor tersebut.

Kematian tersebut menyusul selepas dakwaan yang sama oleh waris mangsa pada minggu lalu bahawa dua pesakit mati berikutan kekurangan oksigen di sebuah hospital kerajaan di Delta Nil.

Para pendakwa raya di wilayah Menoufiya telah melancarkan siasatan punca kematian yang berlaku pada Jumaat lalu.

Ketika mengulas di televisyen pada Sabtu lalu, Menteri Kesihatan, Hala Zayed berkata, rundingan sedang dilakukan bagi mendapatkan dua lagi vaksin, AstraZeneca dan Pfize.

Pada bulan lalu, Menteri Kewangan, Mohamed Maait berkata, kerajaan memeterai kontrak untuk membeli 20 juta dos vaksin Pfizer/BoiNTech dan 30 juta dos vaksin AstraZeneca, menurut akhbar, Al-Ahram.Kes Covid-19 dilaporkan meningkat setiap hari sejak kebelakangan ini..

Pada Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan merekodkan 1,400 kes baharu dan 54 kematian, salah satu rekod harian tertinggi sejak pandemik itu menular pada tahun lalu.

Secara keseluruhan, Mesir merekodkan sebanyak 140,878 kes, termasuk 7,741 kematian.

Bagaimanapun, bilangan sebenar kes Covid-19 di negara itu dijangka lebih besar berikutan ujian yang terhad dan pesakit yang tidak dikira kerana pesakit dirawat di rumah atau di hospital swasta. – MalaysiaGazette