KUALA LUMPUR – Pengalaman dijangkiti wabak Covid-19 merupakan satu tempoh yang sukar lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan stigma negatif daripada masyarakat.
Berkongsi cerita sebagai salah seorang bekas pesakit Covid-19, Siti Nurul Qalbie A. Ghani dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, walaupun telah sembuh sepenuhnya dari wabak tersebut namun masih ada segelintir komuniti memandang serong terhadap ahli keluarganya.
Menurut Siti Nurul Qalbie, dia bersama keluarga merupakan antara individu terawal dijangkiti Covid-19 di negeri tersebut dan digelar sebagai pesakit sulung ketika dimasukkan ke Hospital Tumpat sehingga kisahnya menjadi ‘buah mulut’ penduduk setempat.
“Kami merupakan Kluster Tabligh walaupun abah tidak pergi ke Sri Petaling tapi ditakdirkan orang yang pergi ke perhimpunan tersebut datang ke kampung kami dan abah ketika itu menumpangkan mereka ke masjid dengan menaiki kereta.
“Abah juga ada bersalam-salaman dengan mereka dan disitulah permulaannya, namun kami sekeluarga dipandang seolah-olah kami yang mencari penyakit tersebut.
“Walhal ketika itu semua orang pun tidak tahu mengenai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 mahupun tentang penjarakan fizikal,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Tambah Siti Nurul Qalbie, apabila bapanya dimasukkan ke hospital selepas didapati positif Covid-19, pelbagai status dimuat naik di laman Facebook oleh penduduk berhampiran sehingga ada yang mengguris hati mereka sekeluarga.
Jelasnya, status tersebut turut merujuk seolah-olah mereka tidak tahu menjaga kebersihan dan secara sengaja mencari penyakit itu.
“Bila Covid-19 itu terkena kepada keluarga, kami dipandang hina dan jijik oleh masyarakat.
“Ketika itu hanya kakak yang tidak dijangkiti virus dan perlu menjalani kuarantin tetapi dia cerita kepada saya ada beberapa individu yang lalu di hadapan rumah dan sebut Covid, Covid berulang kali.
“Apabila sudah keluar dari wad, masyarakat pula seolah-olah menjatuhkan hukuman kesalahan kepada kami padahal ketika itu masih belum dikeluarkan SOP,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Nurul Qalbie turut merayu supaya masyarakat dapat mengikis stigma negatif terhadap pesakit,mahupun bekas pesakit Covid-19 kerana apa yang mereka lalui merupakan suatu tempoh yang amat getir sepanjang hidup.
“Berhenti menyalahkan keluarga pesakit kerana apabila anda terkena Covid-19, ia sangat memberi tekanan terhadap fizikal dan juga mental.
“Anda bertarung nyawa berdepan dengan sejenis penyakit yang belum ada ubatnya dan tidak tahu bagaimanakah pengakhirannya. Anda perlu kuat selain perlu sentiasa menitipkan kata-kata semangat antara ahli keluarga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Siti Nurul Qalbie turut menekankan tentang kepentingan menjaga SOP dan mengambil kira tentang penjarakan fizikal.
Katanya, tiga hari sebelum disahkan positif wabak tersebut oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), dia ada menghadiri satu mesyuarat wanita bersama penduduk.
“Saya disahkan positif pada hari Rabu dan Ahad saya hadir mesyuarat kira-kira satu setengah jam.
“Ketika itu saya batuk tidak berhenti dan memang sudah pakai pelitup muka walaupun ada dalam kalangan yang hadir memandang saya agak pelik kerana saya mengenakan pelitup muka serta tidak bersalaman.
“Selepas disahkan positif, PKD jejak kesemua aktiviti saya selama 14 hari sebelum itu dan saya maklumkan ada hadir ke satu mesyuarat. Namun alhamdullilah kerana sahabat-sahabat yang bersama saya tidak ada seorang pun yang positif kerana ketika itu saya memang menjarakkan diri dan sentiasa memakai pelitup muka,” ujarnya. – Malaysia Gazette