KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) mengumumkan pemain import baharu untuk kuota Asia iaitu Rabih Ataya dari Lubnan bagi memperkuatkan jentera serangan hadapi saingan Liga Malaysia musim ini.
KDA FC dalam satu kenyataan memberitahu, Rabih Ataya ditandatangani secara pinjaman dari Kelab Al-Ahed FC selama setahun.
Musim lalu, kelincahan ketika beraksi dengan UiTM FC memikat banyak pasukan namun Kedah menjadi destinasi pilihan pemain tersebut.
“Pengalaman beraksi di pentas akhir Piala AFC 2019 dan menjuarai edisi musim tersebut amat penting bagi Kedah dan menjadi seorang jeneral buat Kedah di bahagian tengah seterusnya memperkuatkan barisan serangan Kedah,” kata kenyataan itu.
Rabih dianggap sebagai salah satu pemain import paling cemerlang dalam saingan Liga Malaysia musim 2020 apabila dia membantu pasukan UiTM menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam dan memiliki kutipan mata sama dengan Selangor iaitu 17 mata.
Pencapaian ini dianggap sebagai satu pencapaian terbaik UiTM FC apabila kelab itu baru satu musim beraksi di Liga Super setelah dinaikkan pangkat daripada saingan Liga Perdana. – MalaysiaGazette