Home Nasional SPRM datang minta penjelasan bukan serbu – Prasarana

SPRM datang minta penjelasan bukan serbu – Prasarana

Prasarana

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana)  mengesahkan kehadiran penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  ke pejabat syarikat itu pagi tadi.

Ketika memaklumkan perkara tersebut Timbalan Ketua Komunikasi dan Pegawai Pemasaran Prasarana, Rafizah Amran turut menafikan laporan media kononnya pejabat agensi itu diserbu.

Jelas beliau sebaliknya SPRM hanya datang untuk meminta bantuan bagi melakukan siasatan susulan dakwaan  berlakunya salah laku.

“SPRM datang bukan serbuan tetapi datang meminta penjelasan untuk melakukan siastaan susulan  berita negatif yang dilaporkan oleh media, kita berbesar hati membantu dalam siasatan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media bersama Pengerusi Prasarana,  Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di sini hari ini.

Rafizah seterusnya berkata  ketika kedatangan penguat kuasa SPRM, tidak ada kakitangan Prasarana yang ditahan dan tidak ada barang yang disita.

“Buat masa ini, tiada siapa  yang ditahan atau laptop disita. Ada beberapa dokumen yang mereka bawa balik disebabkan  ada beberapa tuduhan daripada individu tertentu.

“Kami harap melalui  SPRM kita boleh bebaskan (bersihkan) nama kami,”tambahnya.

Katanya lagi, Prasarana bersedia memberi kerjasama dengan SPRM sekiranya diperlukan.

Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata,  pihaknya telah memulakan siasatan terhadap syarikat pengoperasi pengangkutan awam milik penuh Kementerian Kewangan itu khusus berkaitan salah guna kuasa. -MalaysiaGazette