KUALA LUMPUR – Sejak semalam hangat diperkatakan di media sosial mengenai penerbit dan pelakon terkenal, Datuk Ziela Jalil apabila ada netizen mendakwa dia sudah pun mendirikan rumah tangga dengan lelaki bergelar Datuk dan hidup bermadu.
Tanpa mahu memanjangkan kontroversi, Ziela akhirnya mengakui sudah hampir dua tahun berkahwin namun tiada niat untuk merahsiakan perkahwinan dan menyembunyikan status sebagai isteri kedua.
Ujarnya, dia berbuat demikian kerana mahu menjaga hati banyak pihak dan menunggu masa sesuai untuk kongsikan kepada umum.
“Pun begitu, saya bersikap positif dengan melihat tindakannya sebagai satu isyarat menandakan masa untuk saya berkongsi berita ini kepada umum sudah tiba,” katanya kepada BH Online.
“Suami, Datuk Syed Osman Al Habshee adalah Pengerusi Masjid Ibnu Mas’ud. Kami bernikah pada 17 Februari 2019 selepas lima minggu berkenalan.
“Pada awalnya, saya cuba merahsiakan perkahwinan daripada keluarga termasuk anak-anak kerana tidak mahu melukakan hati mereka. Saya tak mahu mereka merasa seolah-olah saya sudah melupakan bapa mereka.
“Mungkin sudah tersurat jodoh saya dan satu ujian buat saya. Mungkin sebelum ini saya sering mengatakan yang tidak akan berkahwin lagi, namun siapalah saya untuk menidakkan ketentuan Ilahi,” ujarnya.
Menafikan dakwaan kononnya dia berkahwin kerana harta, Ziela berkata, suaminya hanya orang biasa. Ujarnya, di dan seorang yang memahami.
“Bayangkan, selama sebelas tahun saya hidup bersendirian ditemani kenangan bersama arwah suami, sudah tentu agak sukar untuk saya memutuskan untuk berkahwin semula apatah lagi untuk menjalani kehidupan bermadu seperti sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, Ziela berkahwin dengan Tan Sri Megat Junid namun suaminya meninggal dunia akibat kanser prostat pada 2008. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Dr Puteri Julia Nabilah Megat Junid. – MalaysiaGazette