Home Nasional Alasan batal HSR bercanggah, kerajaan perlu beri penjelasan – Mohamad

Alasan batal HSR bercanggah, kerajaan perlu beri penjelasan – Mohamad

Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu telus dan memberi penjelasan sewajarnya terhadap keputusan membatalkan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kata Datuk Seri Mohamad Hassan.
Ini kerana, penjelasan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ya Kung di Parlimen Singapura semalam ternyata sangat bercanggah dengan penjelasan yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed yang dikeluarkan pada 1 Januari lalu.
Mustapa dalam kenyataannya memaklumkan pembatalan projek HSR itu kerana ia tidak lagi berdaya maju untuk dilaksanakan kerana impak pandemik Covid-19.
Sedangkan, kata Mohamad, kurang dua bulan lalu, Kerajaan Persekutuan sangat bersungguh-sungguh ingin meneruskan projek mega ini yang dijangka dapat menjana kesan pengganda yang positif terhadap ekonomi negara dalam pernyataan Belanjawan 2021.
”Perubahan mendadak dalam keputusan berkaitan projek berimpak tinggi seperti ini serta ketidaktelusan kerajaan tentang pelbagai aspek, termasuk sebab sebenar dan jumlah pampasan yang mesti dibayar oleh Malaysia telah menyusutkan kewibawaan kerajaan.
”Semua ini terus menghakis keyakinan pelabur luar terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, menurutnya, keutamaan waktu ini ialah ketelusan dan akauntabiliti pihak kerajaan.
Oleh kerana projek ini melibatkan dana awam, termasuk pembayaran pampasan kepada Singapura, Kerajaan Malaysia wajar tampil dan menjelaskan segala percanggahan dalam kenyataan yang dikeluarkan dan berhenti daripada terus mengelirukan rakyat.
Tambah beliau, segala perancangan pembangunan bandar dan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi akan menerima impak negatif; termasuk hab pengangkutan bersepadu seperti Bandar Malaysia serta pembangunan bandar lain sepanjang laluan HSR, implikasi daripada pembatalan HSR bermakna seg
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Rantau berkata, jikalau projek ini diteruskan tanpa Singapura, ia tidak lagi strategik.
”Kerajaan nyata tidak mempunyai an overarching strategy dalam melaksanakan projek mega sebegini. Dasar prasarana dan keputusan ekonomi kita nyata terpisah dari realiti integrasi ekonomi rentas sempadan yang selama ini kita perjuangkan melalui pelbagai kerjasama ekonomi serantau,” katanya. – MalaysiaGazette