
PUTRAJAYA – Pemecatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) hari ini sebenarnya diputuskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdasarkan suara akar umbi.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, apa pun keputusan yang dibuat Ahmad Zahid hari ini bukan atas permintaan ketua-ketua bahagian UMNO.
“Perjumpaan hari ini kami ketua-ketua bahagian UMNO membawa usul dan mandat daripada bahagian bukan kenyataan peribadi ketua bahagian.
“Dengan mandat dan usul ini memberi kekuatan kepada Presiden UMNO untuk melaksanakan kehendak dan kemahuan akar umbi.
“Keputusannya bukan Datuk Seri Zahid yang mahu bertukarnya jawatan tersebut daripada Tan Sri Annuar Musa kepada Datuk Ahmad Maslan.
“Kami di bahagian tak sebut pun siapa tapi melihat kenyataan-kenyataan Tan Sri Annuar Musa sebelum ini dilihat mengelirukan akar umbi.
“Bukan kehendak Zahid tapi kehendak akar umbi,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan pejabat Jabatan Perikanan Malaysia hari ini.
Terdahulu Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dipecat sebagai Setiausaha Agung BN berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu disahkan oleh salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO hari ini.
Difahamkan, keputusan itu dibuat dalam pertemuan khas ketua-ketua Bahagian UMNO bersama Presiden UMNO di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Jamal juga mengulangi pendirian UMNO Bahagian Sungai Besar bersama 188 UMNO bahagian lain bahawa tiada lagi pintu rundingan buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kerusi P903 calonnya ialah Jamal Mohd Yunos, mesej yang ingin disampaikan bahawa hari ini kerusi ini disandang oleh Yang Berhormat Muslimin yang juga timbalan Menteri Pendidikan, sebagai ahli Parlimen.
“Jadi bila pengumuman ini disebut, maksudnya tiada kerjasama, tiada rundingan dan tiada apa-apa lagi. Kami UMNO Bahagian Sungai Besar akan terus dengan keputusan dibawa secara berjemaah hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette