KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan merujuk Perdana Menteri mengenai dakwaan berlaku penindasan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang melaksanakan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6&7 Tahun 2020 Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) tanpa rundingan bersama pihaknya yang mewakili 1.6 juta kakitangan awam.
Justeru CUEPACS dan MTUC menolak sepenuhnya pelaksanaan pekeliling itu yang berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu dengan dakwaaan ia ‘menghakis’ peranan MBK dalam rundingan setiap pelaksanaan dan penambahbaikan yang dibawa kerajaan kepada penjawat awam.
Pada masa yang sama CUEPAC yakin dan percaya tindakan JPA itu berlaku tanpa pengetahuan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan.
Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, gabungan pekerja dan kakitangan awam dalam Konvensyen CUEPACS pada 3 Januari lalu sebulat suara bersetuju dan menolak sepenuhnya pelaksanaan pekeliling berkenaan yang tidak melibatkan rundingan dengan pihaknya.
Justeru katanya, buat julung kali mereka akan membawa permasalahan itu kepada perhatian dan tindakan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
“CUEPACS sepatutnya bertemu dan merujuk perkara ini kepada Perdana Menteri pada 22 Disember lalu untuk tindakan lanjut bagaimanapun masalah banjir di Pahang telah memaksa ia ditangguhkan dan kita sudah meminta tarikh temujanji baharu.
“Justeru MTUC juga akan bertemu PM secara berasingan berhubung perkara ini pada Khamis ini (7 Januari 2021).
“Malah kami percaya dan yakin Putrajaya atau JPA mungkin melaksanakan pekeliling itu tanpa pengetahuan PM,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani yang mewakili hampir satu juta ahli dan 15 juta pekerja di seluruh negara yang turut menolak pekeliling yang sama.
Ditanya sama ada pihaknya akan meneruskan tindakan merujuk masalah berkenaan kepada ILO selepas mengemukakannya kepada PM, Adnan menjelaskan ia bergantung hasil pertemuan dan maklum balas dari Muhyiddin.
Pihaknya tidak mahu membiarkan Putrajaya menerusi pegawai tertinggi kerajaan membuat sesuatu tindakan tanpa pengetahuan kerajaan yang boleh menjejaskan keharmonian, kerjasama yang terjalin utuh antara JPA dan pegawai kerajaan sehingga boleh membelakangkan kongres dan kakitangannya.
Beliau turut menjelaskan penindasan JPA mengingatkannya kepada kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) mengenai ada pegawai kerajaan mensabotaj kerajaan sendiri.
“Kita tidak mahu Putrajaya mengambil tindakan membelakangkan kerajaan seumpama berlaku sebagaimana zaman Tun M.
“Jadi apakah ayat Tun M ini benar-benar berlaku sekarang kerana dengan terbitnya pekeling ini, maka menunjukkan wujudnya situasi pegawai tertinggi di Putrajaya cuba sabotaj kerajaan iaitu tak berunding dengan pihak pekerja yang boleh hakis keyakinan pekerja kepada kerajaan,” katanya.
Menurut Adnan, sebelum ini, CUEPACS tidak pernah membawa perkara itu kepada perhatian ILO pada konvensyen tahunan kerana menganggap kongres yang sedia ada cukup memadai untuk membela pekerja dan tidak berdepan sebarang masalah selain menjaga imej negara supaya tidak tercalar.
Beliau juga mengakui kali terakhir tindakan seumpama berlaku pada 22 Disember 2019 oleh JPA membabitkan pemansuhan pembayaran insentif kritikal tetapi ia tidak dibawa kepada ILO dengan isu buruh paksa dan pembayaran gaji rendah yang menyalahi konvensyen antarabangsa.
Pun begitu katanya, penindasan JPA dengan melaksanakan pekeliling bilangan 6&7 Tahun 2020 tanpa menghormati dan berunding dengan CUEPACS memaksa perkara itu dibawa ke perhatian ILO pada Jun ini.
Dalam hal yang sama, katanya kerajaan tidak boleh membelakangkan suara dan hak pekerja dalam sebarang pekeliling yang sebelujm ini pernah ditegur dan perlu memansuhkan segera pekeliling terbaharu itu dan mengembalikan pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 1992.
“Apa yang menyedihkan adalah sejak kenyataan mendesak penangguhan pekeliling itu pada 28 Disember lalu, sampai sekarang JPA tidak mengambil sebarang kecenderungan atau keseriusan memberi maklum balas kepada kami untuk berunding semula mengenai isu ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Betol kata2 seorang karomah