Home Pendapat Menempa budaya ketahanan belia

Menempa budaya ketahanan belia

Warung Kapten Corner

PERUBAHAN besar bermula daripada idealisme. Daripadanya mengalir tenaga yang menolak sesuatu gerabak keselesaan menuju suatu ruang yang saling mencabar. Idealisme datang daripada pelbagai jurusan menurut tujuannya. Tauhid sebagai landasan idealisme Islam sebagai mithal, menolak orang untuk berbuat pekerjaan yang mengeluarkan seseorang daripada jahiliyyah. Begitu untuk faham-faham lainnya, masing-masing bertujuan menurut
arus sendiri.

Pada garis aliran perjuangan daripada idealisme yang telah ditekadkan, orang muda harus memiliki keyakinan progresif terhadap usaha yang dijalani. Supaya mereka berani mencabar dan memerah keupayaan sebenar sampai kepada limitasi yang dibenarkan. Dalam soal kepemudaan ini, yang patut ditanamkan pada mereka adalah kesedaran tentang kekuatan yang melimpahi diri mereka pada setiap sudut. Tidak ditemui kekuatan yang lebih banyak
daripada yang dimiliki oleh para pemuda. Idea, tenaga, emosi, semangat, keberanian, cuma yang belum penuh dimiliki adalah kebijaksanaan. Memahami ini, akan memandu mereka untuk mengerah segala kekuatan memecah kemalasan, mendorong penciptaan jiwa dan rekayasa produk yang memberi guna kepada kemajuan masyarakat. Beberapa cadangan ini disyorkan untuk pemuda mengisinya.

Kita bermaksud untuk menggesa anak muda beranjak daripada kategori pekerjaan tradisional, statik, beku. Mereka tidak boleh melihat pekerjaan makan gaji itu adalah hidangan utama (main dishes) semata yang perlu didapatkan untuk kelangsungan hidup. Keselesaan telah membunuh semangat kemandirian dan kesendirian. Para graduan sebagai contoh, dilaporkan lebih condong mendapatkan pekerjaan dalam zon selesa.

Kebiasaannya mereka memilih sektor awam sebagai pilihan utama dan pertama dan terakhir mungkin. Alasannya sederhana, senang hidup. Tidak kaya, tetapi cukup. Untuk diri, keluarga. Untuk masyarakat tiada. Kerana tiada yang dapat diperah lebih. Faedah kerja kerajaan itu ialah – selamat. Bukan menguntungkan. Justeru, tiada apa yang perlu mereka buru untuk mendapatkan sesuatu yang baru.

Sebilangan kecil dikalangan mereka memilih kesempatan berbeza. Sebelum pujian diberi kerana kesanggupan dan keberanian keluar daripada jaminan sosial yang selesa di kantor kerajaan, perhatian mendalam patut diberi jenis bagaimanakah kelompok ini. Sebagai contoh mereka yang memasuki politik. Daripada awal, fikirannya sudah terlebih sampai menjelajah masuk ke pejabat menteri, ke kerusi pegawai khas, setiausaha politik dan sebagai macam sorotan lampu limpah yang lain.

Lebih terdahulu, ada yang mimpinya mungkin telah sampai sejauh ke kerusi Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Tiada lain tujuannya untuk mendapatkan kegengsian, memiliki ‘kuasa’ bagi mencipta nama dan jenama. Bukankah dengan hanya nawaitu untuk memiliki kuasa itu, banyak contoh-contoh kezaliman berlaku. Mereka ini kurang terdedah dengan tasawwur bahawa berkuasa adalah untuk membawa manusia menuju
kesejahteraan bersama. Bukan mendapat kuasa, untuk mencipta nama, meramikan pengikut daripada kalangan yang teruk.

Cita-cita begini bukan mimpi besar. Tetapi kecil. Amatlah kecilnya sehingga radar pergerakan kerjanya berlegar sekitar kerusi-kerusi empuk semata. Tetapi, mereka yang boleh dipuji tetap ada. Kelompok itu terbenam dalam kegelojahan rakan-rakan mereka yang menonjol sekali di arus permukaan. Kelompok ini memasuki politik untuk memberi khidmat kepada watan, kepada ummah, kepada kemanusiaan. Dhamirnya telah tertanam “jika tidak orang-orang baik terjun masuk ke ranah politik, orang-orang jahat akan merempuh dan mengganggunya”.

Cuma, kelompok ini perlu juga didedahkan dengan apa yang disebut oleh Niccolo Machiavelli dalam il principe atau the prince (Sang Penguasa). Pada waktunya, pemimpin yang baik-baik ini selain perlu memiliki daya tahan untuk berhempas pulas mempertahankan prinsip, moral, etika, maruah, iman, akhlak, integriti, mereka juga perlu mempunyai daya kekuatan untuk melakukan “necessita”.

Istilah ini merakam makna “kemestian menjadi jahat”, dalam erti kata untuk melaksana perkara baik, seseorang itu perlu cukup kuat untuk mencantas, menolak, menghapuskan lawan dan musuh walaupun terpaksa dilihat melakukan kerja ‘jahat’. Jika kesan ini ada dalam diri, orang itu dilihat oleh pengamal falsafah politik machievelli (dalam makalah ini, ada pertimbangan logiknya) sebagai mereka yang memiliki ‘virtu’. Manakala, orang yang tidak kepandaian ‘menjadi jahat’ dengan berhelah dan bermuslihat akan dilihat hanya mengharapkan nasib baik (fortuna).

Belia yang sedia terjun ke dalam sepak terajang politik, sedang memberanikan diri ‘mencipta musuh’ walaupun demikian bagaimana sekali baiknya, dia terpaksa membenarkan musuh tumbuh dengan suburnya. Jika dia sanggup juga berjaya melepasi, ganjaran orang meninggikan pasti. Pemimpin itu didedankan selangkah, ditinggikan seranting. Belia harus lasak. Tidak dimanja-manja.

“Anak lelaki tak boleh dihiraukan panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskipun bagaimana besar gelombang. Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang”

Buya Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Demikian alamatnya yang digantungkan oleh budiman tentang orang muda, belia dan beliawanis kita. Hidupnya untuk berjuang, bukan menumpang, untuk mendukung, bukang didukung. Manakala, beberapa kalangan golongan belia yang sanggup mengambil risiko untuk masuk menghadapi gelora dan kancah pergulatan menghadapi pasang surut dunia ekonomi. Mereka ini kelompoknya masih terhitung kecil daripada gelombang umum di peringkat
perdana. Jumlah mereka yang terlibat dalam bidang keusahawan diharapkan dapat meningkat daripada masa ke semasa. Di peringkat MBM, Jawatankuasa Keusahawanan telah mewujudkan kumpulan sasar berikut untuk meningkatkan penglibatan mereka dalam kegiatan keusahawanan. Hub usahawan belia Malaysia seperti berikut :
Usahawan belia OKU
Golongan ibu tunggal muda
Golongan asnaf
Belia Felda
Belia Orang asli

Fokus yang sedang ditumpukan selepas ini adalah mewujudkan satu big data usahawan belia untuk saling mengakses jaringan sesama para usahawan. Jaringan kepintaran. Begitu istilah yang dicadangkan oleh para futurist mengenai apa yang akan mempengaruhi keberhasilan pada masa depan. Jaringan kepintaran akan menjadi modal
utama dalam menghadapi persaingan global di era Covid-19.

Ketakutan menghadapi ketidaktentuan dunia ekonomi yang sering diumbang-ambing gelora telah melengserkan sikap mengalah dikalangan mereka. Mengalah sebelum melangkah. Mereka sanggup melabur RM15 ke RM20 sehari untuk membeli sekotak rokok, manakala mereka tidak sanggup bahkan merungut mengenai yuran minima yang dikenakan untuk menghadiri sesuatu kursus bagi peningkatan kemahiran pengurusan niaga.

Membuka akaun untuk daftar perniagaan

Mentaliti pertama yang perlu diubah adalah “buat sesuatu yang pasaran mahu dan bukan yang kita mahu”. Di sini peranan usahawan untuk bersikap progresif. Pertama, mereka harus berpenat, dengan lelahnya memperoleh ilmu, kemudian berpenat menghadapi beberapa karenah birokrasi, berpayah lalui tingkat-tingkat, pintu ke bilik untuk mendapatkan maklumat yang cukup mengenai sesuatu tawaran.

Sistem francais perlu dipertingkatkan dengan tawaran varian-varian baru produk jualan. Selain jika ada yang mahu memecahkan ruyung mencipta jenama baharu yang boleh difrancaiskan di suatu waktu nanti. Musim ekonomi tidak menentu ini, yang datang dengan idea-idea baru dan model niaga pulangan segera akan segera curi perhatian, dukungan dan sokongan. ‘Masala Chai Tea’ yang diusahakan oleh graduan UNITEN, Kavievanan Subramaniam berpotensi dikembangkan dengan konsep jual dengan basikal. Ada kelainan yang menjadikan ia mendapat sorotan dan tularan. Kapten Corner yang diusahakan oleh juruterbang Kapten Azrin Mohamad Zawawi juga memiliki daya tarik. Dengan pakaian Kapten Kapal terbang, jualannya juga laju terbang. Siapa tahu akan menjadi jenama juga suatu waktu. Keberanian berbeza jadi kuncinya.

Dalam satu sesi bersama YB Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, penulis sempat bertanyakan tentang idea-idea baru di ruang niaga. Seorang yang mungkin kurang akses untuk masuk dalam dunia niaga moden. Dia tinggal di luar bandar, jarang punya apa-apa, kecuali mimpi yang ia tidak tahu dan mampu menjalankannya. Dia tidak mahir Business Canvas Model, ilmu tentang perekodan dan pengawalan aliran tunai, pengurusan akaun dan sumber manusia serta semua yang disyaratkan oleh agensi penyokong dana. Cuma, satu yang dia punya – idea. Jika idea itu dihitung baik dan bolehjual, ditaksir oleh mereka yg berautoriti, akankah boleh kumpulan pakar yang mahir untuk menampung hampawa kekurangannya itu.

Ini pun sebahagian daripada padanan industri juga. Menembus masuk kepada belia luar yang tidak terlatih khususnya mereka yang berada di luar bandar serta yang terlepas daripada menerima latihan kemahiran formal dalam niaga. Ideanya sebagai transaksi untuk berdagang di pentas niaga sebenar.

Jika inisiatif ini diambil oleh pihak kerajaan, ia akan membuka jalan kepada lebih banyak mimpi-mimpi sang Pemimpi terjelma di dunia realiti. Jika itu boleh ditimbang secara saksama, faedahnya pasti akan memberi ruang lebih ramai kumpulan terpinggir untuk berani bermimpi.

Membudayakan orang muda sebagai a new generation of economic cluster adalah bertepatan dengan semangat zaman kini. Zaman yang mana sektor kerja secara tradisional yang dikawal oleh skema tugas, hierarki, penyeliaan telah bolos dirembat oleh serangan digitalisasi. Dalam minda ramai orang pun telah mulai menolak sistem kerja yang berkerangka. Dengan menyertai pasaran ekonomi sahaja, kreativiti, bakat dan ketahanan diri sebenar akan teruji.

Jatuh bangun diri peduli. Banyak yang anda buat, banyak anda dapat. Tidak berbuat, tiada jaminan pendapatan pasif sebagai orang yang bekerja hakiki, menjadi kakitangan yang harus melapor kepada bos miliki.

Jika anak muda percaya dengan idealisme ‘kepemudaan’, tiada yang mereka khuatiri. Dengan kekuatan, segala dapat dimungkinkan. Seseorang memberitahu “saya akan mempertanyakan kesarjanaan seseorang graduan jika dia masih mengintai-intai kerja, bukan mencipta atau menawarkan kerja” Ada dua jurang yang boleh diisi oleh graduan untuk melengkapkan garis panjang perjalanannya selepas graduasi. Knowledge gap untuk diisi mereka bagi menjambatani rahsia raya yang masih senyap sunyi. Kemudian ditemukan apa yang lompang untuk dibawa ke depan, diisi, ditangani.

Sesudah itu, market gap pula dipenuhi untuk mencukupi keperluan manusia sesudah jurang pengetahuan diisi. Pemain niaga bermain di gelanggang, pemikir niaga memerhati ruang-ruang kosong dari luar gelanggang untuk mencatur pemain pada posisi mudah menerjah jaring, lalu menciptakan kerja dan kerjaya dan kehidupan kepadanya.

Semoga kedua-dua ini dilayani, dijalani oleh kekuatan orang muda yang bernilai itu dengan kesediaan untuk berusaha keras. Tanpa ketahanan, tiada kejayaan. No pain no gain. Di permulaan garis menghadapi zaman pasca Covid-19 yang kesannya akan benar-benar dirasa pada tahun 2021 ini, anak muda tidak boleh berlengah menunggu kerja di sektor kerajaan semata yang satu jawatannya dibuka, beribu pemohon menanti di muka.

Alirkan semangat zaman ini untuk berani tampil mengasah kepemudaan untuk tahan hadapi cabaran. Slogan Hari Belia Negara tahun 2020 “Dekad Ini, Dekad Anda” memang sebenarnya layak untuk dihadam, ditelan jadi raksa yang membangunkan jiwa-jiwa belia yang berketahanan menghadapi cabaran.

Muhamad Hanapi Jamaludin
Felo Penyelidik
Majlis Belia Malaysia