KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan keterangan serta penjelasan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan mengenai perolehan serta penggunaan vaksin Covid-19.
Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, penjelasan tersebut dibuat dalam prosiding PAC mengenai vaksin Covid-19 yang dihadiri oleh Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di bangunan Parlimen hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha (KSU) KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan KSU MOSTI, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.
“Secara keseluruhannya, PAC Parlimen berpuas hati dengan keterangan dan penjelasan yang diberikan oleh YB Khairy Jamaluddin, YB Datuk Seri Dr Adham Baba dan Tan Sri Noor Hisham Abdullah dalam isu perolehan dan penggunaan Vaksin Covid-19.
“Prosiding ini adalah selari dengan hasrat PAC dalam memastikan perbelanjaan kerajaan benar-benar telus demi manfaat rakyat secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas prosiding tersebut.
Menurut Kah Woh, PAC juga mengambil maklum mengenai terdapatnya Non Disclosure Agreeement (NDA) antara kerajaan dengan syarikat pengeluar vaksin Covid 19.
Beliau berkata, secara amnya, NDA tidak sewajarnya mengekang tugas dan peranan PAC.
“Walau bagaimanapun, dalam perkara ini, PAC akan mengimbangi antara peranan PAC dalam melaksanakan penelitian legislatif (legislative scrutiny) dengan peruntukan NDA dalam perjanjian komersial yang sedia ada, untuk memastikan tidak berlakunya sebarang pelanggaran perjanjian,” katanya.
PAC, katanya, tidak akan berkompromi dengan prinsip ketelusan dalam menjalankan tugasan, dan pada masa sama sentiada menjaga kepentingan negara sementara menghormati perjanjian yang telah dimeterai.
Vaksin: Malaysia mungkin berdepan risiko batal perjanjian jika langgar syarat kerahsiaan
TERKINI : Malaysia Dijangka Terima Bekalan Vaksin Pertama Februari Depan – Khairy
Selain itu, menurut beliau, AC Parlimen untuk kali pertamanya akan mengadakan mesyuarat khas (exit conference) bersama MOSTI dan KKM sebelum laporan PAC dibentangkan di Dewan Rakyat dalam memastikan segala syarat perjanjian berkenaan dipatuhi.
“PAC Parlimen komited untuk membantu memberikan keyakinan kepada rakyat dalam mendapatkan vaksinasi Covid 19 supaya penularan wabak ini dapat dihentikan,” katanya.
Isu perolehan vaksin Covid-19 menjadi tumpuan pembangkang yang mendesak kerajaan mendedahkan kos yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut. – MalaysiaGazette