Home Nasional Peniaga Puchong nekad berniaga semula, sedia hadapi tindakan

Peniaga Puchong nekad berniaga semula, sedia hadapi tindakan

Peniaga berkumpul untuk menghalang dan membantah pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya meroboh gerai mereka di Puchong Permai, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2021.

PUCHONG – Kesemua 43 peniaga gerai makan di Puchong Permai sanggup ambil risiko dan mahu berniaga semula esok walaupun pihaknya akan dikenakan tindakan kerana mengingkari arahan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Lebih seminggu operasi perniagaan mereka digantung pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, esok mereka nekad untuk membuka semula perniagaan demi kelangsungan hidup.

Menurut seorang peniaga aksesori wanita dan beg tangan, Khadijah Che Lah, 62, dia bersama peniaga lain sepakat untuk berniaga semula esok dan sedia ambil risiko jika barang perniagaan dirampas.

Temubual bersama peniaga, Khadijah Che Lah, 62 di Puchong Permai, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2021.

“Saya memang setuju sangat apabila dibenarkan berniaga semula esok alhamdulillah.

“Sudah seminggu tak berniaga, tak boleh tunggu lagi, nak bayar macam-macam, duit pun dah habis, tak tahu mana nak korek lagi.

“Tak sempat nak rampas kot, kita pakat lari laa, sumbat dalam kereta, kemas cepat, sayang ooooi nak modal balik, susah, kita bukan orang senang pun,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Puchong Permai, di sini.

Terdahulu, 43 peniaga Puchong Permai boleh menarik nafas lega apabila kerja-kerja perobohan gerai makan yang dijadualkan dilakukan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Puchong Permai, ditangguhkan hari ini.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah setelah beliau dimaklumkan oleh pihak polis, awal pagi tadi.

Temubual bersama peniaga, Zainal Maarop, 54 di Puchong Permai, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2021.

Bagi seorang peniaga kasut bundle, Zainal Maarop, 54, mengakui bahawa sejak seminggu lalu pendapatannya agak terjejas, lebih-lebih lagi itulah satu-satu sumber pendapatannya.

“Dalam seminggu ini sakit betul, duit tak ada masuk langsung, duit keluar saja.

“Sehari kerugian dekat RM800 hingga RM1,000 dan punca pendapat saya hanya kasut bundle, tak ada niaga lain, tiada sumber lain,” katanya.

Temubual bersama Pengerusi Persatuan Penjaja Puchong Permai, Ismail Awang di Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2021.

Sementara itu, bagi Pengerusi Persatuan Penjaja Puchong Permai, Ismail Awang berkata, kerugian yang dialami peniaga di situ sudah mencecah RM1,600 sejak seminggu ditutup.

“Kalau seorang peniaga pendapatan sehari purata RM200, kalau seminggu, hari ini masuk hari ke-8 sudah RM1,600.

“Bebanan ini cukup dirasai oleh peniaga-peniaga terutama menyambut hari persekolahan anak-anak dan menjelang bulan puasa dan hari raya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette