DIHENTAK dengan fail di depan pesakit, dipanggil dengan perkataan kasar dan kesat
seperti ‘bodoh’, difitnah kononnya ada masalah disiplin diri dan lebih teruk, diganggu
secara seksual. Ini semua beberapa jenis bentuk pengalaman doktor pelatih di
negara ini.
Mungkin kita sedikit terkejut bila membaca kajian yang dilaksanakan oleh Persatuan
Perubatan Malaysia (MMA) bahawa kes buli dalam kalangan doktor pelatih sudah begitu
serius berlaku.
Menurut kajian tersebut, 66.9 peratus doktor pernah dibuli atau diganggu tugas. Ini
bukannya suatu perkara terpencil lagi. Ia boleh dianggap sebuah malapetaka yang
telah menjadi barah teruk dalam institusi perubatan negara.
Jika tidak kerana laporan akhbar yang menyebut tentang hasil kajian itu, sudah pasti
kita beranggapan kerjaya doktor ini suatu kerjaya yang indah segala-galanya tanpa
cabaran sebegini rupa.
Rupa-rupanya mereka yang berusia antara 26 hingga 35 tahun yang terlibat dalam
bidang perubatan pernah dibuli dan diganggu. Suatu dapatan yang baharu bagi
orang umum sebenarnya.
Jangan pula kata ini kes biasa atau sengaja direkayasa. Timbalan Presiden
Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) Dr Muhammad Munawar Mohamed
Hatta sendiri beritahu media bahawa kes buli ini sudah berlarutan sejak 20 hingga
30 tahun lalu.
Sedih, pilu, marah, geram, seram, kecewa, semua perasaan itu bercampur baur bila
mengetahui kes-kes buli doktor pelatih ini sudah lama merebak dan ‘diamalkan’
secara haram.
Kita tak salahkan para mangsa juga. Mungkin mereka sukar untuk membuat aduan
kerana tiada siapa yang mereka boleh percayakan untuk selesaikan masalah ini.
Sehinggalah Menteri Kesihatan sendiri tampil membuka mulut memberi pandangan
terhadap isu yang jijik ini.
Menurut Datuk Seri Dr Adham Baba, Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia untuk
mengkaji proses kerja siasatan termasuk struktur dan keanggotaan jawatankuasa
supaya mencerminkan ketelusan serta keadilan proses siasatan dan keputusan
siasatan.
Dr Adham juga bersifat profesional dalam isu ini. Beliau tidak terburu-buru untuk
menjatuhkan hukum salah kepada mana-mana pihak tertentu sahaja. Namun,
mungkin para mangsa selepas ini boleh menarik nafas lega sedikit apabila Dr
Adham mengumumkan bahawa para doktor pelatih boleh terus membuat aduan
menggunakan kaedah lama, atau boleh juga terus mengadu kepada pengurusan
tertinggi KKM.
Apapun pasti 66.9 peratus mereka yang menjadi mangsa itu bergantung kepada
keputusan yang akan di buat oleh Dr Adham selaku peneraju kementerian itu.
Kita wajar memberi sepenuh sokongan kepada KKM dalam memberhentikan amalan
keji dan jijik ini. Mana mungkin kita sanggup melihat para doktor yang merawat kita
dan sanak saudara kita berada di dalam keadaan emosi tak stabil dan terancam.
Siapa boleh terima doktor yang merawat pesakit untuk menjadi lebih sihat itu
sebenarnya sedang berada dalam situasi tidak sihat dari zahir dan batinnya?
Namun pada masa sama patut juga menilai definisi "buli" dalam survey MMA itu. kita tidak mahu doktor pelatih dan junior terlalu manja hingga kena marah pun dianggap buli. Bagaimana hendak menjadi doktor yang cemerlang tetapi manja, jiwa rapuh dan cuai.
Kelasakan dan keupayaan menerima dan mengurus tekanan kerja juga penting
supaya sentiasa fokus dan teliti didalam menunaikan amanah dan muncul menjadi
pakar cemerlang di dalam apa juga bidang kepakarannya.
Kita semua tahu, seperti profesion lain, pelatih dan pekerja baharu yang lasak,
sanggup kerja lebih masa, komited dan berpengalaman bertugas di mana jua,
termasuk pendalaman, akhirnya menjadi pegawai dan pakar berpengalaman yang
cemerlang.
Berbanding dengan anak manja yang sentiasa hendak bertugas di hospital dan klinik
berdekatan dengan ibu bapa atau dalam bandar, si manja sedemikian sukar untuk
muncul sebagai pegawai perubatan yang berpengalaman dan cemerlang di dalam
kerjayanya.
Jadi kalau sekadar pernah kena marah atau ditengking atau dijegil mata pun
dianggap kena buli, eloklah kerja sendiri sahaja atau cari kerja lain. Anda tidak
cukup kental untuk menjadi profesional cemerlang
Justeru, besarlahlah harapan warga Malaysia agar dapat melihat KKM
menyelesaikan barah ini sebelum ia terus menjadi pandemik yang merosakkan
seluruh sistem kesihatan negara.
Rugi sahaja kerajaan membelanjakan berbilion wang rakyat untuk sektor kesihatan
negara sekiranya terhadap pihak-pihak tertentu yang cuba membudayakan amalan
tidak sihat dalam kalangan para doktor ini.
IBRAHIM MD SYUKRI
Penjawat Awam di Putrajaya