Home Nasional Cadangan DAP batal SPM tidak masuk akal – Mourhrna Reddy

Cadangan DAP batal SPM tidak masuk akal – Mourhrna Reddy

Mourhrna Reddy. foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Cadangan Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen agar kerajaan membatalkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 yang ditunda ke bulan depan berikutan pandemik Covid-19 disifatkan sebagai mengarut.

Jurucakap Gerakan, Mourhrna Reddy berkata, beliau tidak menyangka DAP yang selalu menimbulkan keadaan tidak senang sanggup memainkan isu pendidikan.

“Cuba tepuk dada tanya diri kamu sendiri, adakah ini adil Chong Chieng Jen? Apakah semua perkara kamu dalam DAP jadikan bahan politik? Pandangan kamu langsung tidak masuk akal.

“Bagaimana kita boleh terus bertindak membatalkan peperiksaan yang sebenarnya amat genting dan penting sebelum melangkah masuk ke Tingkatan Enam, atau matrikulasi, pendidikan teknik?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chieng Jen berpendapat, sijil patut dikeluarkan untuk pelajar berdasarkan penilaian guru terhadap keputusan ujian terdahulu, peperiksaan percubaan serta kerja kursus.

Menurunya, penangguhan juga akan memberi tekanan serta kesan ke atas produktiviti pelajar dan ia sepatutnya dielakkan.

Bagaimanapun Mourhrna berkata, jika beliau ikhlas untuk membantu pelajar, Chieng Jen sepatutnya mengemukakan cadangan yang lebih bernas.

Mourhrna yang juga Pengarah Projek Kelas Tuisyen Virtual SPM inisiatif Gerakan memberitahu, antara cara untuk menangani Covid-19 dengan norma baharu ialah melalui pembelajaran atas talian.

“Jika semuanya sudah mula menyesuaikan diri dengan norma baharu, apakah ada keperluan untuk kita batalkan satu peperiksaan cukup penting hanya kerana ada pemimpin politik ‘cetek’ seperti ini?

”Para pelajar SPM kita juga sudah lama mengikuti kelas secara atas talian selain ulangkaji di rumah selama ini dan kamu senang-senang hendak batal?,” katanya.

Ujarnya, Gerakan yang melancarkan kelas tuisyen atas talian berjaya mengumpul beratus pelajar SPM seluruh negara bagi menyiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan itu. – MalaysiaGazettte