RAWANG – Sebuah kereta ‘panas’ atau kereta curi dijual pada harga antara RM250 hingga RM500 yang kemudian komponennya dileraikan pihak ketiga.
Itu taktik sindiket curi kenderaan yang menyasarkan mangsa di daerah Gombak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 25 hingga 38 tahun pada 3 Januari hingga semalam di sekitar Rawang selepas pemerihatian dilakukan ke atas suspek.
“Penahanan suspek susulan laporan polis dibuat lelaki berusia 40-an selepas Honda Ferio miliknya hilang 5 Oktober lalu.
“Hasil risikan pasukan Balai Polis Rawang menahan suspek pertama di Pekan Rawang dan merampas beberapa keping kad Touch n Go yang mencurigakan sekitar jam 2 pagi pada 2 Januari lalu,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Arifai, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki di sebuah flat di Rawang Perdana ketika dia sedang meleraikan komponen Honda Ferio.
Tambah beliau, polis turut menemui tiga buah kereta yang dilaporkan hilang di Rawang, Bukit Sentosa dan Jinjang dan pihaknya juga merampas dua buah kereta yang mana nombor chasis dan enjin ubah.
Katanya, kini polis sedang memburu Muhammad Fazli Subri yang juga dikenali sebagai Lie, 25, yang berasal dari Kampung Manik Urai Lama, Kelantan yang bersubahat dengan sindiket berkenaan.
Sementara itu, polis Selayang berjaya menahan dua lelaki yang terbabit dalam kes pecah rumah di Taman Seri Selayang, pada 4 Januari lalu.
“Kedua-dua suspek ditahan di sekitar Selayang kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan kepada polis oleh mangsa kejadian.
“Mangsa yang berada di luar negara memaklumkan jirannya rumahnya dipecah masuk selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati sebuah kereta Proton Saga dan dua motosikal berkuasa tinggi milik mangsa dilarikan suspek selain pelbagai barangan berharga seperti komputer riba dan peralatan elektronik.
Arifai berkata, suspek berusia 35 dan 40 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau ditahan bersama kereta dan motosikal yang dilarikan.
“Mereka kini direman lima hari sehingga esok untuk membantu siasatan lanjut polis mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk rumah,” jelas beliau. – MalaysiaGazette