Home Nasional Laluan LPT dari Lanchang – Temerloh ditutup

Laluan LPT dari Lanchang – Temerloh ditutup

Laluan di Kilometer (KM) 113 dan KM 115 antara persimpangan Lanchang ke Persimpangan Temerloh ditutup kedua-dua hala kepada lalu lintas susulan kenaikan air. Foto FB LPT.

KUALA LUMPUR – Pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 dinasihatkan menangguhkan perjalanan masing-masing kerana laluan di Kilometer (KM) 113 dan KM115 antara persimpangan Lanchang ke Persimpangan Temerloh ditutup di kedua-dua hala kepada lalu lintas susulan kenaikan air banjir.

Syarikat konsesi LPT, ANIH Berhad (ANIH) dalam kenyataan memaklumkan laluan antara Lanchang ke Karak KM 84.6 hingga KM 84.7 masih ditutup kepada lalu lintas.

Bagaimanapun, laluan antara Lanchang menghala ke Kuala Lumpur telah di buka pada jam 9 pagi semalam.

“Pengguna dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan dan mematuhi arahan petugas di lokasi.” katanya menerusi akaun Facebook Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hari ini.

Bagi mengetahui maklumat laluan alternatif boleh dirujuk ke Bilik Gerakan Bencana JKR Pahang di talian 09-571 7157 atau muat turun aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat.-MalaysiaGazette