KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah selepas kenderaan yang dipandu bertembung dengan sebuah kenderaan lain dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Sime Darby dekat Jalan Sultan Ismail pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memberitahu, dalam insiden kira-kira pukul 3 pagi itu mangsa yang tersepit dibahagian tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan oleh anggota dari Balai Bomba Titiwangsa.
Katanya, kejadian melibatkan dua buah kenderaan dari jenis sedan.
“Beberapa minit kemudian mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba, manakala dua orang lagi mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita dewasa mengalami kecederaan ringan,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, kesemua mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan operasi mengeluarkan mangsa selesai kira-kira pukul 3.52 pagi. – MalaysiaGazette