KUALA LUMPUR – MIC pada mulanya terkejut dengan keputusan diambil UMNO menggantikan jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang disandang Tan Sri Annuar Musa kepada Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, selepas mendengar alasan dari mesyuarat biro politik UMNO petang ini, beliau akur dengan keputusan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Memang terkejut tetapi kita akur dengan keputusan Pengerusi BN tetapi pelantikan baharu mesti dibincangkan dalam Majlis Tertinggi BN,” katanya ringkas kepada pemberita di lobi Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Dalam pertemuan Presiden UMNO dengan ketua-ketua Bahagian di PWTC semalam, Ahmad Zahid mengumumkan jawatan Setiausaha Agung BN digantikan kepada Ahmad Maslan.
Keputusan itu dibuat berikutan desakan majoriti ketua-ketua UMNO bahagian yang tidak berpuashati dengan tindakan Annuar dikatakan membuat mendahului presiden dalam kenyataannya berkaitan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Ditanya sekiranya MIC ada menerima tekanan dari rakan komponennya, UMNO untuk memberi sokongan agar memecat ahli Parlimen yang membelakangkan parti, beliau berkata, setakat ini tidak ada. – MalaysiaGazette