Home Politik Tekad baharu Azmin ketuai PN Selangor

Tekad baharu Azmin ketuai PN Selangor

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR –  Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin berterima kepada pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) kerana memberi kepercayaan kepadanya mengetuai gabungan parti itu di Selangor.

Beliau berikrar untuk menggalas amanah dan tanggungjawab itu dengan menggarap dan memperkukuh seluruh kekuatan PN di negeri berkenaan.

“Selangor merupakan sebuah negeri yang kosmopolitan dan progresif. Rakyatnya yang rencam dan dinamik adalah aset utama Selangor sebagai sebuah negeri maju dan penyumbang utama ekonomi negara.

“Menginsafi bahawa cabaran hari ini menuntut sebuah kerajaan yang stabil dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha menjamin keselamatan rakyat dan mencerdaskan ekonomi negara, PNl Negeri Selangor bertekad untuk mendakap aspirasi rakyat,” tegas Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor yang baharu dilantik itu dalam satu kenyataan hari ini.

PN Selangor, kata Mohamed Azmin akan meneruskan dasar-dasar peduli rakyat selain memacu pertumbuhan ekonomi bagi menjamin perkhidmatan yang efisien kepada rakyat dalam suasana mencabar sekarang.

Menurutnya, bagi menjayakan usaha itu, pihaknya akan terus menggembeleng perpaduan dan kesatuan rakyat untuk bersama-sama dalam usaha pembangunan dan kemajuan negara.

“Sebagai sebuah gabungan kerjasama politik, PN mahu menganjurkan perjuangan murni, luhur dan ikhlas demi mengangkat martabat rakyat dan negara.

“Maka, saya menyeru seluruh komponen, pimpinan dan aktivis akar umbi PN khususnya di Negeri Selangor untuk segera menggalang satu kekuatan dan sinergi baru yang segar dan utuh demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.- MalaysiaGazette