Home Politik UMNO perlu putuskan, dengan siapa hendak bekerjasama, kata Hishamuddin

UMNO perlu putuskan, dengan siapa hendak bekerjasama, kata Hishamuddin

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

KUALA LUMPUR – UMNO perlu mempunyai hala tuju, objektif dan sebab yang jelas dalam merancang jalan untuk membawa parti itu ke hadapan.

Malah, pertimbangan yang dibuat juga tidak boleh bersandarkan kepada emosi dan kesan jangka masa pendek, kata Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, keputusan yang bakal dibuat oleh parti akan menentukan jatuh bangunnya UMNO serta memberi kesan kepada nilai dan asas perjuangan parti selain kedudukan UMNO dalam pilihan raya yang akan datang.

“Jika parti berkeputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu, parti harus putuskan dengan siapa UMNO akan bekerjasama menjelang PRU15.

“Adakah dengan DAP? Adakah dengan PKR? Atau bersendirian?” soal beliau menerusi kenyataan hari ini.

Ketua Bahagian UMNO Sembrong itu berkata, perancangan kerjasama politik UMNO harus dibuat dengan teliti kerana pilihan raya bukannya esok.

UMNO juga, katanya, mesti melakukan dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan.

Tambah beliau, pengajaran harus diambil oleh UMNO apabila Barisan (BN) hanya menang 79 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU14) daripada 133 kerusi yang dimenangi pada PRU-13.

“Ini bermakna kita kehilangan 54 kerusi. Kita harus insaf dari pengalaman ini.

“Tambahan, kita masih berperang dengan Covid-19. Kes harian masih tinggi. Negara juga sedang dilanda banjir. Ekonomi juga sedang dipulihkan. Jumlah rakyat yang terkesan semakin meningkat.

“Parti UMNO sedang diberi peluang untuk buktikan kepada rakyat bahawa pemimpin kita prihatin, berkemampuan, dan bersungguh-sungguh untuk mengurus krisis dan menitikberatkan kepentingan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, pemimpin UMNO diberi amanah mengetuai Kementerian Pertahanan yang bertanggungjawab terhadap soal keselamatan negara dan menangani penularan Covid-19; mengetuai Kementerian Kesihatan yang memegang tanggungjawab besar memimpin petugas barisan hadapan negara; mengetuai Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi yang sedang berusaha keras mendapatkan bekalan vaksin secepat mungkin.

Katanya, UMNO sepatutnya komited dalam usaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Pada hemat saya inilah harapan rakyat di bawah kepada pemimpin UMNO. Bukan berpolitik merebut kuasa yang tiada kesudahan. Akhirnya rakyat mual dan hilang keyakinan.

“Kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi yang akan bermesyuarat pada malam ini, biar ahli parti dan rakyat jelas apa sebenarnya UMNO inginkan. Putuskanlah yang terbaik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Apalah ko ni bebal sangat…dah banyak kali UMNO kata nak bekerjasama dgn PAS dan GRS..ko masih duk blur laaagi..tak timbul pun soal DAP ke, PKR ker…ko ni serabut laaa

Comments are closed.