KUALA LUMPUR – Seramai lima pegawai dan anggota Majlis Sukan Negara (MSN) disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan pada 5 Januari lalu.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail memberitahu, berdasarkan ujian yang dibuat, tiga daripada mereka terlibat semasa proses pengendalian pendaftaran atlet pada Ahad lalu dan dua lagi berkemungkinan mendapat jangkitan dari luar.
Katanya, ujian yang dibuat adalah rentetan daripada kes positif Covid-19 melibatkan tujuh orang atlet dan seorang pegawai sukan ketika saringan semasa pendaftaran semula atlet dari balik bercuti hujung tahun lepas.
“Semua pegawai dan anggota MSN yang terlibat semasa proses pendaftaran atlet tersebut telah menjalani ujian swab pada 5 Januari lalu. Seramai 75 pegawai dan anggota MSN telah menjalani ujian berkenaan.
“Mereka yang telah disahkan positif telah menjalani kuarantin diri di rumah masing-masing dan menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MSN juga telah mengarahkan pegawai (PUS) yang berkemungkinan mempunyai kontak rapat dengan pegawai positif Covid-19 untuk menjalani kuarantin diri selama 10 hari dan akan menjalani ujian swab pada hari kesembilan untuk pengesahan bebas daripada jangkitan.
“Setelah berbincang dan mendapat nasihat daripada KKM, tempat bertugas pegawai yang disahkan positif akan ditutup untuk proses sanitasi.
“Perkara ini akan dilaksanakan secara serta-merta. Semua pegawai dan anggota MSN akan sering diingatkan untuk mematuhi semua SOP dan arahan yang dikeluarkan KKM.
“MSN sentiasa memberi komitmen sepenuhnya terhadap pematuhan semua SOP yang telah ditetapkan supaya tiada jangkitan lain dalam kalangan pegawai dan anggota MSN termasuklah atlet-atlet negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette