Menurut Kenanga Research di bawah Kenanga Investment Bank, tanpa mengambil kira kemungkinan penjadualan semula acara jika COVID-19 semakin buruk, program sukan terbabit akan menyaksikan pengguna mengikuti temasya sukan berkenaan pada pertengahan tahun ini.
“Walaupun ini dilihat memberi manfaat kepada penggiat media yang juga pengendali televisyen ini berikutan populariti acara tersebut, namun perniagaan terbabit akan tetap terjejas akibat perubahan sosioekonomi susulan langkah kawalan pergerakan di peringkat tempatan selain pemilihan masa pengiklanan,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
“Kami juga masih menganggap saluran digital yang dilihat lebih interaktif dan berkesan bagi pengiklan, terus menjadi ancaman utama terhadap platform media tradisional ini.”
Menurutnya, susulan peranan media digital yang dilihat kian penting, pemain media dijangka menggabungkan lebih banyak strategi untuk melonjakkan kedudukan serta kehadiran masing-masing secara lebih ketara.
Persaingan pula kebanyakannya merangkumi penggiat antarabangsa seperti Google dan Youtube selain platform sosial media seperti Facebook dan Instagram.
“Bagi mendapatkan kelebihan, syarikat menawarkan penyelesaian pengiklanan bersepadu dan analisis data bagi menghasilkan pemasaran yang lebih berkesan untuk pengiklan.
“Walaupun saluran e-dagang dan beli-belah dari rumah diunjur mencatat tarikan yang positif, kami berpendapat ianya masih bergantung kepada kejayaan organisasi induk masing-masing bagi merealisasikan potensi sepenuhnya,” katanya.
“Tahun lepas misalnya menyaksikan pelbagai contoh pengurangan jumlah pekerja dengan beberapa penutupan syarikat apabila persekitaran operasi menjadi semakin tidak stabil dan sukar untuk dipertahankan.
“Seiring dengan sentimen sedemikian, kami berpendapat bahawa keadaan sekarang bukanlah masanya untuk membolehkan para penggiat media berasa lega.”
Oleh itu, Kenanga Research mengekalkan saranan ‘underweight’ terhadap sektor media. – MalaysiaGazette