WASHINGTON – Joe Biden mengecam pemberontakan oleh perusuh pro-Trump yang menyerbu dan mengepung US Capitol.
Beliau turut menuntut situasi itu diselesaikan segera.
Demokrat mendesak Presiden Donald Trump untuk menolak kekerasan.
Dalam sebuah rakaman video di Twitter, Trump mengulangi dakwaan bahawa undi “dicuri”, tetapi mendesak para penunjuk perasaan untuk “pulang”.
Sesi bersama Kongres mengesahkan undian kolej pilihan raya telah ditangguhkan dan terpaksa berhenti.
Para penunjuk perasaan merempuh polis untuk menuju ke US Capitol sambil menjerit dan mengibarkan bendera pro-Trump dan AS ketika mereka menyerbu masuk dewan di bangunan tersebut.
Mereka menuntut keputusan pilihan raya presiden dibatalkan.
Pencerobohan itu menyebabkan anggota Kongres bergegas mencari perlindungan di bawah tempat duduk mereka dan memakai topeng gas ketika gas pemedih mata dilepaskan di Capitol Rotunda.
Seorang wanita terbunuh semasa tunjuk perasaan itu, menurut media Amerika Syarikat (AS).
Polis menemui dua alat letupan yang disyaki digunakan dalam rusuhan tersebut.
Bercakap dari Wilmington, Delaware, Biden berkata, serangan seumpama itu belum pernah terjadi sebelum ini.
“Saya meminta Presiden Trump untuk pergi ke televisyen nasional sekarang untuk memenuhi sumpahnya dan mempertahankan Perlembagaan dan menuntut protes ini dihentikan,” katanya.
“Tindakan menyerbu Capitol, menghancurkan tingkap, duduk di lantai Pejabat Senat, menggeledah meja di Dewan Perwakilan, mengancam keselamatan pegawai. Ini bukan protes; ini pemberontakan,” katanya.
Trump menjawab dalam video yang dirakam di Twitter, mengulangi dakwaan penipuannya yang tidak dibuktikan dalam pilihan raya pada tahun lalu.
“Saya tahu anda tidak puas hati. Saya tahu anda kecewa,” kata Presiden Republikan itu kepada para penyokongnya.
Tump dijangka meninggalkan White House pada 20 Januari ini. – MalaysiaGazette