SHAH ALAM – Seorang lelaki berusia 35 tahun didakwa tuduhan memalsukan dokumen “Declaration Of Conformity” atas nama Top Glove Sdn Bhd.
Tertuduh, Kelvin Tong Teng Hoe didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 6 Jun 2020 untuk tujuan menipu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tiga tahun termasuk denda.
Beliau yang dihadapkan dihadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan minta dibicarakan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ainul Amirah Abdul Razak menawarkan ikat jamin sebanyak RM30,000.
Namun peguam bela tertuduh, Mohd Redzuan Mohd Yusoff memohon agar jumlah ikat jamin dikurangkan memandangkan perniagaan anak guamnya terjejas akibat pandemik Covid-19.
Hakim Yang Zaimey yang mempertimbangkan rayuan tertuduh, menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000.
Mahkamah turut menetapkan 5 Febuari 2021 sebagai sebutan kes. – MalaysiaGazette