PETALING JAYA – Seorang pemilik sebuah bengkel kereta direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kehilangan dan penemuan mayat seorang warga emas di dalam but sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan oleh pasukan polis Negeri Sembilan pada 2 Januari lalu selepas laporan polis kehilangan diterima dari ahli keluarganya.
Katanya, suspek telah ditangkap Sabtu minggu lalu oleh polis Negeri Sembilan sebelum diserahkan kepada pasukan Polis Petaling Jaya pada 2 petang semalam di pekarangan IPD Jelebu untuk tindakan lanjut.
“Hasil soal siasat suspek telah membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan Taman Wawasan, Puchong di dalam bonet belakang kenderaan yang dinaiki mangsa pada 31 Disember lalu.
“Berdasarkan siasatan awa, mangsa dan suspek ada berselisihan faham selepas mangsa tidak menerima bekalan tayar daripada suspek. Mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM500 untuk membeli tayar.
“Suspek bertindak mencekek leher warga emas itu sehingga dia tak sedar diri dan seterusnya menyimpan mayat dalam bonet kereta yang dinaiki mangsa,” katanya.
Pagi tadi suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya tadi untuk direman.
“Mahkamah membenarkan suspek direman tujuh hari sehingga 13 Januari ini untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ezanee juga menambah, mayat mangsa masih ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat dan polis sedang menunggu bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa tersebut.
“Semakan ke atas suspek juga mendapati dia memiliki satu rekod jenayah lampau kes penipuan bersangkut Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada tahun 2014,” katanya.
Kehilangan warga emas berusia 69 tahun sejak 31 Disember lalu akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemui dalam bonet kereta kereta Volvo warna hijau, yang juga milik seorang pelanggan suspek di Taman Wawasan, Puchong pada malam Rabu.
Ketiadaan mangsa disedari anak perempuannya yang tinggal di Setia Alam sekitar jam 9 malam selepas menyedari bapanya tidak pulang ke rumah selepas meninggalkan bengkel kereta miliknya di Ara Damansara jam 3 petang.
Keluarga suspek terus mencurigai kehilangan mangsa apabila kad kredit bapanya digunakan di pasar raya serbaneka di Kuala Klawang, Negeri Sembilan.
Wanita itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Ara Damansara.
“Siasatan awal polis mendapati persengketaan berhubung isu jual beli tayar dianggarkan bernilai RM1,100 sebagai punca sebenar membawa kepada pembunuhan,” kata Nik Ezanee.- MalaysiaGazette