Home Politik Muda dakwa PN berniat jahat mahu halang parti itu sertai PRU15

Muda dakwa PN berniat jahat mahu halang parti itu sertai PRU15

Kerajaan didesak segera memberikan moratorium secara automatik kepada rakyat negara ini sebagaimana yang diberikan pada pelaksanaan PKP 1.0 dahulu.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendakwa keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menolak pendaftaran parti itu sebagai usaha jahat kerajaan Perikatan Nasional untuk menghalang mereka menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

MUDA dalam reaksi terhadap keputusan RoS melahirkan rasa terkejut kerana pihaknya telah memberi kerjasama penuh dan mematuhi segala syarat untuk pendaftaran, oleh itu tiada sebab kukuh untuk JPPM menolak pendaftaran MUDA.

Katanya, kebebasan berpersatuan dan hak untuk mengambil bahagian dalam proses demokratik negara adalah hak asas setiap warganegara Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan tetapi hak ini telah dinafikan pihak kerajaan.

“Ini adalah usaha jahat kerajaan Perikatan Nasional untuk menghalang Muda, serta penyokongnya, daripada mengambil bahagian dalam Pilihanraya Umum yang akan datang.

“Langkah ini juga melanggar hak berperlembagaan MUDA untuk membentuk persatuan,” kata MUDA sambil menuntut kerajaan bertanding dalam pilihan raya akan datang dengan adil, tulus dan bersih dan tidak menggunakan taktik licik dan kotor.

RoS dalam satu email berkata permohonan parti itu tidak diluluskan tanpa menyatakan alasan mengapa badan itu menolak permohonan gerakan yang diterajui oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Turut ditolak permohonannya adalah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, MUDA beranggapan bahawa penolakan itu ada kaitan dengan pendedahan yang dibuat oleh gerakan itu dua hari lalu berhubung isu Prasarana.

“Penolakan Muda juga datang setiap hari pembongkaran skandal keluarga Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Rahman berkait projek LRT Dang Wangi.

“Bergerak ke depan, Muda akan mempertimbangkan setiap pilihan yang ada, termasuk tindakan yang diperlukan,” kata mereka lagi. – MalaysiaGazette