Home Nasional Reman nenek pijak cucu OKU hingga maut disambung 6 hari

Reman nenek pijak cucu OKU hingga maut disambung 6 hari

Wanita Indonesia yang didakwa memijak dan menendang cucu saudaranya sehingga maut dalam kejadian 30 Disember lalu di Kampung Sungai Chinchin dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang untuk disambung reman bagi membantu siasatan polis. Foto AFFAN FAUZI, 07 JANUARI 2021.
GOMBAK –  Reman seorang wanita warga Indonesia yang ditahan kerana disyaki memijak dan menendang cucunya kanak-kanak berusia 5 tahun 11 bulan sehingga usus pecah dan maut disambung reman selama enam hari lagi.
Suspek utama yang berusia 55 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang jam 9.39 pagi dengan menaiki MPV Polis.
Wanita itu berpakaian lokap warna jingga dengan tangannya bergari serta bertudung hitam dibawa di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan untuk proses perintah sambung reman bagi membantu polis melengkapkan kerts siasatan kes.
Pegawai Penyiasat kes berkenaan, Inspektor Rezal turut hadir.
Majistret Nik Mohd Fadli yang mendengar proses permohonan reman itu telah membenarkan suspek direman enam hari lagi mulai esok sehingga 13 Januari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan boleh dihukum gantung jika disabit kesalahannya.
Suspek kemudian dibawa keluar dari mahkamah 15 minit kemudian dan dimasukkan ke dalam lokap mahkamah.
Manakala lima lagi ahli keluarganya termasuk bapa kandung kanak-kanak OKU malang itu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Pegawai Penyiasat berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk proses pendakwaan di mahkamah nanti.
Katanya, pihak pendakwaraya akan menentukan status lima suspek yang dibebaskan dengan jaminan polis, sama ada akan dituduh atau dijadikan saksi pendakwaan dalam kes itu nanti di mahkamah.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan penahanan reman kesemua enam ahli sekeluarga bersama wanita berkenaan selama enam hari sejak 2 Januari 2021 oleh pasukan polis Gombak selepas kejadian berlaku pada 30 Disember lalu di rumah suspek di Kampung Sungai Chinchin, Gombak.
Kesemua suspek ditahan pada 1 Januari lalu selepas laporan bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak itu oleh Hospital Kuala Lumpur pada hari yang sama mendedahkan terdapat unsur jenayah iaitu lebam dan dipijak serta ditendang hingga usus perut pecah dan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa tidak sedar diri selepas muntah di ruang tamu.
Paramedik yang memeriksa mangsa mengesahkan kanak-kanak malang itu telah meninggal dunia. – MalaysiaGazette