JaJABATAN Meteorologi Malaysia meramalkan musim tengkujuh serta fenomena hujan lebat akan berlarutan sehingga Mac ini. Ekoran itu juga kita menyaksikan beberapa negeri di Pantai Timur serta negeri lain seperti Johor dan Sabah ditimpa bencana banjir ekoran kenaikan paras air yang mendadak.
Banjir bukanlah satu bencana alam yang boleh dipandang ringan. Meskipun ia merupakan kejadian yang sering berulang dan sepatutnya boleh dikawal dan dikurangkan kerosakan jika persediaan rapi dilakukan, implikasi kerosakan banjir tetap besar. Menurut laporan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dibawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, bagi tempoh 2018/2019, dianggarkan kerugian sekitar RM 44 juta daripada sekitar 800 kejadian banjir yang melanda seluruh Malaysia dalam tempoh tersebut.
Bukan sahaja kerosakan dari sudut material, banjir juga telah meragut ramai nyawa rakyat Malaysia. Yang terbaru seorang mahasiswa dari USIM telah menjadi mangsa korban banjir. Apa yang ingin disampaikan daripada petikan data ini adalah penekanan terhadap implikasi negatif yang amat besar daripada fenomena banjir.
Oleh itu, adalah wajar bagi pihak kerajaan negeri mahupun pusat bekerjsama dan menumpukan usaha dalam membantu rakyat yang menjadi mangsa banjir. Namun perlu disedari, pihak lain seperti NGO dan pemimpin politik setempat mengikut parlimen dan DUN masing-masing juga hendaklah memainkan peranan bagi membantu mengurangkan beban rakyat.
Meskipun rakyat yang sebelum ini diuji dengan kelembapan ekonomi ekoran pandemik Covid-19, ditambah pula dengan ujian bencana alam banjir, namun kelibat pemimpin politik dilihat masih lambat dalam menangani situasi yang menimpa rakyat. Masih ada ahli politik yang leka membilang-bilang jumlah kerusi serta mengadakan rencana menghadapi PRU-15 yang kita semua pun tidak pasti bila akan tiba.
Saranan GAMIS buat para pemimpin parti politik, pihak kerajaan dan semua agensi terbabit serta rakan-rakan NGO agar bersama-sama kita memberikan fokus kepada situasi semasa negara yang sedang dilanda banjir ini.
Selaras dengan citra penubuhan GAMIS iaitu untuk menjamin kebajikan mahasiswa, suka untuk kami ingatkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi secara khususnya agar berterusan memberi komitmen yang terbaik dan sepenuhnya dalam menjaga kebajikan mahasiswa yang juga merupakan salah satu golongan yang amat terkesan dengan bencana banjir di negara ini.
GAMIS menyatakan kesediaan dan tekad kami sebagai sebuah NGO untuk turun padang dan melancarkan operasi bantuan bagi mangsa banjir di negeri yang terjejas sepertimana yang telah GAMIS jalankan bagi mangsa banjir kilat di Bangi, Selangor Julai 2020 yang lepas.
"MEMIMPIN KEBANGKITAN MAHASISWA"
Muhammad Danial Akmal Hamdan
Naib Presiden 1
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia 2021