Home Politik Tolak pendaftaran Pejuang keputusan Menteri Dalam Negeri, kata Tun M

Tolak pendaftaran Pejuang keputusan Menteri Dalam Negeri, kata Tun M

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media berhubung penolakan pendaftaran parti PEJUANG oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFIQ HAMBALI, 07 JANUARI 2021.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penolakan pendaftaran partinya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hanyalah bersifat politik semata-mata.

Pengerusi penaja Pejuang itu berkata, segala permintaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah dipenuhi oleh pihaknya.

“Kita telah ikut segala syarat dan undang-undang, mereka berhak untuk menolak atau mendaftarkan tetapi semasa pertemuan dengan RoS mereka mengatakan walaupun semuanya baik, tetapi dia kena rujuk kepada menteri.

“Ini bermakna proses pentadbiran sudah menjadi perkara politikal, melebihi peruntukan dan peraturan undang-undang,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP).

Sidang media itu diadakan bagi mengulas keputusan RoS menolak pendaftaran Pejuang tanpa alasan kukuh.

Dr. Mahathir turut melahirkan rasa pelik dengan ketetapan yang dibuat oleh RoS.

Katanya, badan itu tidak perlu merujuk kepada kelulusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kerana ia adalah badan yang berhak untuk melulus atau menolak sebarang permohonan.

“Kenapa rujuk Menteri? Ini tidak diwajibkan mengikut undang-undang,” katanya lagi.

RoS hari ini secara rasminya menolak permohonan Pejuang yang dipimpin Mahathir untuk mendaftar parti itu sebagai sebuah parti politik.

Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Pejuang berkata, RoS telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah mengenai penolakan permohonan itu pada 5.50 petang semalam, atas alasan pendaftarannya dibuat secara tidak teratur.

Dalam sidang media sama, Amiruddin berkata beberapa permintaan badan itu telah dipenuhi oleh pihaknya berdasarkan kepada permintaan RoS.

Malah pihaknya telah menulis sepucuk surat kepada Hamzah, namun tiada jawapan balas.

“Kita buat sebaik saja diminta dan kita kemukakan perubahan pada permohonan tersebut. Kemudian kita tunggu lagi, tidak ada respon dari pihak RoS.

“Sehinggalah pada 22 Oktober, kita tulis pada Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap RoS, menyatakan kerisauan kita kerana tak ada maklum balas,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata pihaknya akan membuat rayuan kepada KDN berhubung penolakan pendaftaran Pejuang sebagai parti politik hari ini.

“Mengikut aturan, sekarang ini kita boleh buat rayuan kepada menteri. Itu kita akan buat.

“Kami percaya kepada undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette