Home Ekonomi Bank Islam tawar moratorium kepada mangsa banjir

Bank Islam tawar moratorium kepada mangsa banjir

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menawarkan Program Prihatin khusus bagi membantu para pelanggan pembiayaan yang terjejas akibat bencana banjir.
Program ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan mangsa banjir, para pelanggan dibawah kemudahan Pembiayaan Rumah, Pembiayaan Peribadi dan Pembiayaan Kenderaan Bank Islam.
Mereka yang layak boleh memohon moratorium sehingga enam bulan bagi bayaran komitmen bulanan mereka tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berharap program ini dapat bantu melegakan kebimbangan mereka terhadap komitmen kewangan di waktu yang sungguh mencabar ini.
”Bank Islam sentiasa meneliti perkembangan terkini bencana banjir di kawasan-kawasan yang terjejas dan akan mengambil langkah proaktif membantu pelanggannya yang terjejas ekoran bencana berkenaan.
”Kami sedar akan kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan kami dalam menangani situasi semasa, khususnya dengan keadaan banjir yang buruk serta pandemik Covid-19 yang masih melanda negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Permohonan bagi moratorium di bawah Program Prihatin ini boleh dibuat di cawangan Bank Islam terdekat. – MalaysiaGazette