Home Nasional COVID-19: Bayi empat bulan, setahun antara kes positif di Sarawak

COVID-19: Bayi empat bulan, setahun antara kes positif di Sarawak

Foto hiasan

KUCHING – Dua bayi masing-masing berusia empat bulan dan setahun merupakan antara 16 kes positif baharu COVID-19 yang dikesan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini meningkat kepada 1,196.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan bayi pertama dikenal pasti sebagai kes ke 1,191 yang mengalami demam pada 25 Dis lepas itu telah disaring semalam dan didapati positif COVID-19 hari ini.

“Bayi kedua yang berumur setahun pula merupakan kes yang ke 1,181 di negeri ini yang telah disahkan positif semalam dan dikesan mempunyai kontak rapat dengan satu lagi kes yang dilaporkan sebelum ini.

“Daripada jumlah keseluruhan kes positif hari ini, 10 kes telah dikesan di daerah Kuching, empat di daerah Miri dan masing-masing satu di daerah Samarahan dan Julau,” menurut JPBN.

Selain itu, sebanyak lima kes baharu telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih meningkat kepada 1,090 orang atau 91.14 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.

Sementara itu, JPBN turut memaklumkan daerah Kuching telah bertukar status daripada kuning kepada jingga hari ini setelah kumulatif 25 kes jangkitan tempatan dilaporkan, manakala daerah Samarahan pula bertukar daripada status hijau kepada kuning berikutan satu kes baharu jangkitan tempatan hari ini.

— BERNAMA