Home Nasional Majikan perlu sedia pusat kuarantin pekerja asing – Saravanan

Majikan perlu sedia pusat kuarantin pekerja asing – Saravanan

M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Majikan perlu menyediakan pusat kuarantin untuk mengasingkan pekerja asing mereka yang disahkan positif Covid-19.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kos perbelanjaan perubatan serta penyaraan pekerja asing semasa tempoh pengasingan tersebut turut dibiayai oleh majikan masing-masing.

Majikan juga digesa melaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dengan segera sekiranya ada dalam kalangan pekerja asing mereka, positif Covid-19 selepas saringan dilakukan, katanya.

“Majikan perlu bertindak lebih proaktif dalam membendung penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan pekerja asing yang mereka gajikan. Ini susulan peningkatan kes positif Covid-19 yang telah mencecah lebih 125,000 kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, majikan juga perlu melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No.9) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

“Ini bagi membolehkan pengesanan awal pekerja asing yang positif Covid-19 dan seterusnya membendung penularan pandemik tersebut kepada rakan sekerja mereka yang lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette