Home Ekonomi Sekatan pergerakan ketat kedua boleh tumbangkan ekonomi – EuroCham Malaysia

Sekatan pergerakan ketat kedua boleh tumbangkan ekonomi – EuroCham Malaysia

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) memberi amaran sekatan pergerakan kedua yang sama seperti dilaksanakan pada Mac dan April tahun lepas mungkin akan menyebabkan ekonomi Malaysia tumbang kerana banyak perniagaan akan ditutup.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Sven Schneider berkata, negeri-negeri paling terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 juga merupakan hab komersial dan perindustrian negara, yang mana akan menggandakan impak daripada sebarang sekatan pergerakan ketat yang akan dilaksanakan.

“Kami berharap kerajaan akan menimbang dengan teliti perkara ini (di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat potensi perintah kawal pergerakan kedua yang ketat),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Schneider berkata, walaupun Eurocham Malaysia menyokong keputusan kerajaan untuk menangani ancaman COVID-19 kepada kesihatan awam dengan menggunakan strategi yang telah terbukti berjaya, ia tidak memilih sekatan pergerakan penuh yang ketat, yang mungkin tidak dapat mengimbangi keperluan pemulihan ekonomi Malaysia.

Menurutnya, ketika ini, perniagaan masih sedang dalam proses penyusunan semula dan baru sahaja pulih daripada impak sekatan pergerakan pertama disebabkan oleh penularan pandemik itu.

“Antara banyak cabaran yang dihadapi kebanyakan perniagaan semasa sekatan pergerakan sepenuhnya adalah pengurangan hasil dan kerugian kewangan, cabaran logistik dan gangguan rantaian bekalan serta pemberhentian pekerja, antara lainnya,” katanya.

Beliau berkata meskipun kerugian yang dialami, banyak perniagaan dan terutamanya komuniti perniagaan Eropah belajar untuk bukan sahaja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan tetapi juga melaksanakan langkah-langkah dalaman yang malahan lebih ketat dalam pejabat atau tapak pembuatan bagi melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja.

Schneider berkata, susulan kemajuan positif ini, EuroCham Malaysia merasakan daripada melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih bersasar dengan peningkatan SOP menumpukan kepada langkah-langkah lebih ketat ke atas perjalanan dan aktiviti sosial adalah lebih sesuai, kerana ia akan membolehkan perniagaan terus dibina semula dan merangsang ekonomi.

“Jika sekatan pergerakan kedua dilaksanakan sama seperti Mac/April 2020, ia akan membawa impak serius kepada negara dan juga ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette