Home Nasional Beberapa daerah di Pahang ibarat lautan ‘teh tarik’

Beberapa daerah di Pahang ibarat lautan ‘teh tarik’

Gambar hiasan. FB Bomba Pahang

KUANTAN – Ibarat lautan ‘teh tarik’ itulah gambaran beberapa daerah di Pahang selepas negeri ini dilanda banjir sejak Ahad lepas.

Banjir besar yang melanda negeri itu sejak minggu lepas telah menenggelamkan sebahagian besar penempatan penduduk dengan air naik melepasi paras bumbung bangunan.

Tinjauan Bernama bersama Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) baru-baru ini mendapati landskap di beberapa pekan utama di negeri itu berubah seperti air sungai yang keruh berwarna lumpur.

Juruterbang JBPM Penguasa Kanan Bomba 1 Sofian Ahmed @ Ibrahim berkata situasi itu menjadi cabaran buat  pasukannya untuk membantu dan mengesan mangsa dari udara yang terjejas akibat banjir.

“Misi kali ini kami perlu peka dan fokus keadaan sekeliling kerana mangsa selalunya akan mencari tempat yang tinggi dan selamat seperti berpaut pada pokok dan tiang agar tidak dihanyutkan.

“Jika pasukan udara mengesan mangsa, kami akan memaklumkan kepada pusat kawalan agar pasukan di lapangan dapat mengambil mereka menggunakan bot,” katanya.

Terdahulu, Sofian mengemudi helikopter AgustaWestland AW139 dengan dibantu juruterbang kedua, Penguasa Bomba, Faridullahamin Mohd Amin bersama tiga kru penerbangan dan wartawan Bernama membuat tinjauan udara di beberapa daerah di Pahang antaranya Temerloh, Lipis, Rompin dan Maran sejak petang kelmarin (Khamis).

Menurut Soffian, selain memantau keadaan semasa, JBPM juga melaksanakan beberapa misi penerbangan ihsan untuk membawa pesakit yang terperangkap ke hospital selepas jalan utama dinaiki air banjir.

“Sekurang-kurangnya lima penerbangan ihsan dilakukan setiap hari bergantung kepada keadaan cuaca,” tambahnya.

Sementara itu, wartawan Bernama yang mengikuti tinjauan udara itu turut merasai kepayahan dan kesungguhan anggota penyelamat berkenaan dalam memastikan keselamatan mangsa banjir sentiasa diutamakan.

Mereka sanggup bersengkang mata siang dan malam, meninggalkan keluarga malah tiada sedikit pun keluh-kesah yang terpacul daripada mulut mereka demi menabur bakti kepada masyarakat setempat.

Setakat malam tadi, jumlah mangsa banjir di Pahang mencatatkan penurunan kepada 26,075 orang berbanding  27,090 orang petang semalam yang ditempatkan di 284 pusat pemindahan di sembilan daerah, dengan Temerloh menjadi daerah paling teruk terjejas banjir. – MalaysiaGazette