DUBAI – Iran akan mengusir pemeriksa pengawas nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kecuali sekatan ke atasnya ditarik balik pada tarikh 21 Februari ini.
Tarikh itu ditetapkan oleh Parlimen, kata seorang Ahli Parlimen Iran, Ahmad Amirabadi Farahani.
Parlimen meluluskan undang-undang pada bulan November lalu yang mewajibkan pemerintah menghentikan pemeriksaan ke atas lokasi nuklearnya oleh Badan Tenaga Atom Antarabangsa dan meningkatkan pengayaan uranium melebihi kadar yang ditetapkan dalam Perjanjian Nuklear 2015 Teheran jika sekatan tidak dilonggarkan.
Badan pengawas Majlis Penjaga Iran meluluskan undang-undang itu pada 2 Disember dan pemerintah telah mengatakan akan melaksanakannya.
“Menurut undang-undang, jika Amerika Syarikat tidak menarik sekatan kewangan, perbankan dan minyak pada 21 Februari, kami pasti akan mengusir pemeriksa IAEA dari negara ini dan pastinya akan mengakhiri pelaksanaan Protokol Tambahan secara sukarela,” kata Ahmad Amirabadi.
Isnin lalu, Iran memberitahu telah meningkatkan pengayaan uranium sebanyak 20% di sebuah kemudahan nuklear bawah tanah, melanggar perjanjian nuklear dengan kuasa besar dan mungkin menyulitkan usaha oleh Joe Biden untuk melaksanakan semula perjanjian itu.
Iran didakwa mula melanggar perjanjian pada tahun 2019 sebagai tindak balas terhadap Presiden Donald Trump yang membatalkan Perjanjian Nuklear 2015 pada tahun 2018 dan pengembalian sekatan Amerika Syarikat ke atas Tehran.
Tehran sering mengatakan bahawa ia dapat memenuhi perjanjian itu jika sekatan Washington ditarik balik.- MalaysiaGazette