Home Nasional Penduduk Vista Lavender tak lena tidur, takut malapetaka berlaku

Penduduk Vista Lavender tak lena tidur, takut malapetaka berlaku

Penduduk, Abdul Qayyum Abdul Samad (kanan) dan Shamsinar Mohd. Darus menunjukkan kerosakan lantai rumahnya selepas pemendapan tanah di Aparment Vista Levender, Puchong, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 JANUARI 2021.

PUCHONG – Sudah lebih tiga bulan penghuni Blok G, Pangsapuri Vista Lavender di sini hidup diselubungi kebimbangan ekoran keretakan pada struktur bangunan dan parkir yang semakin teruk.

Keretakan di beberapa bahagian antaranya tiang bangunan, dinding rumah serta lantai parkir begitu jelas kelihatan, selain terdapat pergerakan pada konkrit ‘slab’.

Jika dilihat dengan mata kasar, keretakan tersebut ibarat menunggu petaka yang bila-bila sahaja boleh berlaku.

Shamsinar Mohd. Darus

Seorang penghuni, Shamsinar Mohd. Darus, 47, berkata, unit kediamannya menerima impak secara terus daripada keretakan struktur bangunan yang berlaku sehingga mengakibatkan lantai mozek di depan rumah turut pecah.

Menurut Shamsinar, dia bersama tiga anak akan merasa gegaran yang berlaku setiap kali kereta atau pun lori sampah lalu di hadapan rumah sehinggakan tidur malam mereka tidak lagi lena.

“Sejak masalah ini berlaku, saya memang tidak dapat tidur lena kerana memikirkan soal keselamatan anak-anak, selain risau apa yang akan berlaku dan sebagainya. Sampai bila agaknya kami hendak hidup dalam ketakutan?

Kerosakan struktur bangunan selepas pemendapatan tanah di Aparment Vista Levender, Puchong, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 JANUARI 2021.

“Jika dilihat bahagian bawah bangunan ini sudah semakin teruk dan besi konkrit pada tiang bangunan juga sudah terkeluar dan bengkok.

“Saya sendiri turun ke bawah setelah dimaklumkan oleh pengawal keselamatan pada 14 Oktober lalu dan terus beritahu pada jiran dan semua penghuni di Blok G tentang masalah tersebut.

“Kita adukan kepada pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri menerusi perbualan kumpulan di aplikasi WhatsApp bagaimanapun tiada tindakan diambil sehingga kini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Shamsinar yang juga seorang guru, penghuni di blok tersebut turut mengambil inisiatif memanggil pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk memeriksa keretakan yang berlaku dan JBPM mencadangkan supaya kereta yang diparkir di kawasan tersebut perlu dialihkan bagi mengurangkan tahap bebanan.

“Banyak kali kami bertanya menerusi WhatsApp apa perkembangan masalah yang berlaku di blok G kepada JMB namun hampa kerana masih tiada respons, walaupun jalan ditutup tapi masih ada kereta yang lalu di hadapan rumah saya kerana penghadang dibuat secara ala kadar.

“Kami betul-betul kecewa dengan JMB, banyak aduan dan laporan dibuat tapi tiada tindakan sedangkan pengerusi sendiri tidak duduk di sini dan hanya beri maklum balas tentang masalah lain tetapi soalan penduduk tentang keretakan yang sudah berbulan lamanya tidak diendahkan,” ujarnya.

Pemendapatan tanah di Aparment Vista Levender, Puchong, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 JANUARI 2021.

Dalam pada itu, Shamsinar berkata, sikap acuh tak acuh pengurusan turut melarat kepada masalah parkir sementara para penghuni di aras satu hingga tiga blok tersebut yang dialihkan ke petak pelawat.

Katanya, pengurusan gagal menetapkan petak parkir yang akan digunakan penghuni sehingga memaksa sebilangan mereka meletakkan kenderaan di luar,  sekali gus menyusahkan keluarga yang mempunyai anak kecil dan ibu bapa warga emas.

Abdul Qayyum Abdul Samad

Sementara itu, jurucakap penduduk Pangsapuri Vista Lavender, Abdul Qayyum Abdul Samad berkata, pelbagai usaha dilakukan penghuni terutamanya mereka yang berada di Blok G dalam menyelesaikan isu keretakan serius pada struktur bangunan tersebut.

Jelas Abdul Qayyum, JMB bukan sahaja tidak mengendahkan aduan demi aduan yang dibuat, malah tidak turun padang untuk menilai sendiri aspek keselamatan bangunan.

“Aduan kepada JMB sudah, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pun sudah tapi dah lebih tiga bulan masih tiada perkembangan.

“Sudah ada cadangan supaya dipasang ‘scaffolding’ terlebih dahulu namun JMB terus menerus beri alasan tidak masuk akal. JMB tolonglah lebih proaktif, selesaikan masalah penghuni di sini kerana ia libatkan nyawa yang tidak boleh diganti dengan wang ringgit,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Abdul Qayyum berkata, dia sudah memanjangkan isu tersebut kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi emel dan juga panggilan telefon namun masih belum mendapat maklum balas.

Sehubungan itu, Abdul Qayyum merayu kepada MBSJ dan KPKT supaya dapat melihat isu keretakan struktur bangunan berkenaan dengan lebih serius kerana ia melibatkan ancaman nyawa kepada penghuni. – Malaysia Gazette

2 Komen

  1. Minta menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat turun dengan segera!

    Bangunan tersebut mungkin mengalami masalah struktur yang amat serius!

  2. roboh kedai2 peniaga dan rumah AWAM keutamaan majlis PBT…aduan AWAM SERTA perbincangan di pandang SEPI…dasar HIPOKRIT dan TUDING JARI….TERBAIK SELANGORKU…cukai tanah dn pintu lesen dan sewa penjaja TETAP diTUNTUT.

Comments are closed.