Home Sukan Pochettino intai Sergio Aguero

Pochettino intai Sergio Aguero

Aguero mungkin meninggalkan Etihad akhir musim ini menyertai skuad PSG di Ligue 1 Perancis

LONDON – Sejak Mauricio Pochettino mengambil alih tugas pengurus Paris Saint Germain, pelbagai spekulasi menyelubungi bekas Pengurus Tottenham Hotspur itu.

Laporan terbaharu di Paris mendakwa perhatian jurulatih warga Argentina itu kini beralih ke arah bintang Manchester City, Sergio Aguero.

Agen pemain itu, Bruno Satin mendakwa Aguero bakal menyertai kelab gergasi Ligue 1 Perancis itu pada hujung musim Liga Perdana Inggeris 2020/21 ini.

Kontrak pemain berusia 32 tahun itu di Etihad akan berakhir Jun ini.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada sebarang berita mengenai penyambungan kontrak pemain itu.

Satin mendedahkan Aguero menjadi sasaran utama Pochettino dan bakal menjadi pembelian terbesar di Parc des Princes.

Oleh kerana masa depan Aguero di England menjadi tidak menentu, pemain itu boleh membuka rundingan perjanjian pra kontrak dengan mana-mana kelab luar negara sebelum menyertai PSG akhir musim ini.

Satin yang mencul dalam satu program bola sepak di Canal+ pada Khamis lalu mendedahkan pelan yang ditetapkan Pochettino.

Pochettino telah menggantikan Thomas Tuchel yang telah dipecat kelab itu ekoran aksi hambar pasukan sejak awal musim ini.

Bagi Pochettino, Aguero satu-satunya calon yang memiliki segala kelebihan yang dikehendaki kelab itu.

Aguero merupakan penjaring sepanjang masa skuad Pep Guardiola yang dilihat calon tepat membarisi jentera serangan digandingkan dengan Neymar dan Kylian Mbappe.

Malangnya sejak awal musim EPL 2020/21 ini, dia hanya melakukan lima penampilan selepas dilanda masalah kecederaan.-MalaysiaGazette