MUAR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau tidak pernah mengidamkan untuk menjadi perdana menteri.
Mencerminkan dirinya sebagai tidak gila kuasa, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau lebih mementingkan rakyat sebagai asas kepada perjuangannya dalam bidang politik.
“Saya tidak pernah pasang niat tersebut sebab saya tidak gila-gila hendak ada dalam kerajaan dan dapat jawatan.
“Sebab saya tidak pernah sangka akan dilantik sebagai menteri apatah lagi menang buat pertama kali dalam sejahrah Malaysia,” katanya dalam program khas Owh!MG terbitan MalaysiaGazette.
Untuk rekod, tiga tahun lalu, Syed Saddiq mencetuskan fenomena apabila menjadi menteri paling muda dalam sejarah negara.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan ke-18 ketika di bawah pemerintahan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Syed Saddiq menasihatkan, sesiapa yang ingin menyertai bidang politik agar tidak terus memasang niat untuk apa-apa jawatan dalam kerajaan.
Ini kerana, dunia politik boleh berubah bila-bila masa dan sesiapa sahaja tidak terus akan berada di atas persada politik.
“Bila dilantik, Alhamdulillah, Kalau tidak, tak apa, perjuangan itu perlu diteruskan. Itu nasihat saya kepada pimpinan Muda yang ingin menyertai bidang politik jangan cepat sangat pasang niat untuk mendapatkan jawatan atau harta,” nasihat beliau.
Ditanya mengenai gelaran ‘anak emak’ yang sering dikaitkan dengan beliau, Syed Saddiq berkata, beliau tidak cepat melatah dengan gelaran itu.
Baginya, setiap anak mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap ibubapa mereka.
“Anak mana bukan anak mak. Semua ada citarasa sendiri tapi bila orang panggil saya mommies boy, memang saya mommies boy do i love my mum? Of course.
“So nak panggil mommies boy, panggillah. Itu ibu saya, tanggungjawab saya tangunggjawab hakiki seorang anak yang melangkaui fahaman politik, katanya.
Menurut Syed Saddiq lagi, ibunya lebih memerlukan pemerhatian beliau tatkala kembali diserang kanser payudara, Ogos tahun lalu.
Namun, anak kelahiran Johor ini lebih suka berbicara tentang profesion beliau sebagai ahli politik berbanding isu peribadi.
Katanya, fokus beliau kini lebih terarah kepada memperjuangkan isu-isu rakyat yang dipegangnya sejak memenangi kerusi Parlimen Muar pada 2018 lalu.
“Berkenaan jodoh atau fokus politik, jodoh itu ia akan datang.
“Itu kita tunggu dahulu, yang penting kita fokus kepada perjuangkan isu-isu rakyat dan bila gadis idaman itu datang, saya akan maklumkan kepada media,” katanya lagi. – MalaysiaGazette