KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memeras ugut wang RM10,000 dan mahu membunuh mangsa di Petaling Jaya.
Polis menahan lelaki berusia 29 tahun itu di Pulau Langkawi berdasarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar menerusi telefon bimbit kepada mangsa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, laporan polis dari mangsa diterima pihaknya pada 6 Januari lalu jam 10.23 malam.
“Seorang wanita warga tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta mengadu menerima SMS.
“Mesej berbaur ugutan itu meminta mangsa memasukkan wang tunai RM10,000 ke dalam akaun bank tempatan milik suspek dan jika enggan mangsa diugut akan dibunuh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Nik Ezanee, berdasarkan laporan, polis menjalankan risikan dan hasilnya mendapati suspek yang membuat ugutan itu berada di Langkawi.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Petaling Jaya berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan di Jalan Pantai Cenang.
Semakan rekod lampau ke atas suspek mendapati mempunyai satu rekod jenayah dan kita berjaya merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad ATM bank tempatan.
“Siasatan awal juga mendapati suspek tidak mengaku melakukan jenayah pemerasan dan mendakwa telefon digodam individu tidak bertanggungjawab,” katanya.
Suspek kemudiannya direman tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika didapati bersalah.
Selain itu, polis turut menerima 35 lagi laporan polis membabitkan kejadian pemerasan dan ugutan bunuh sama melibatkan mangsa berlainan di kawasan Damansara, Kota Damansara dan Sungai Way..-MalaysiaGazette