Home Seni Hidup Amalteam, Uncle Kentang bantu urus mayat keluarga Cina miskin

Amalteam, Uncle Kentang bantu urus mayat keluarga Cina miskin

Wakil Amalteam Perak, Syariman Shaari (tengah) bersama Uncle Kentang (kanan sekali) bekerjasama menguruskan penghantaran mayat seorang lelaki Cina dari Ipoh ke Melaka hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerja amal tidak mengira bangsa dan agama.

Lebih-lebih pula sekiranya ia melibatkan mereka yang tidak berkemampuan dan melibatkan urusan kematian.

Atas dasar itu, kumpulan Amalteam dan aktivis sosial, Kuan Cheng Heng atau dikenali Uncle Kentang hari ini menguruskan sepenuhnya proses penghantaran mayat seorang Cina beragama Buddha di Ipoh ke Melaka untuk disemadikan.

Wakil Amalteam Perak, Syariman Shaari berkata, pagi tadi beliau menerima panggilan daripada ahli keluarga Cina yang meminta bantuannya.

“Keluarga simati di Ipoh meminta tolong menghantar mayat anak mereka yang meninggal dunia ke Melaka kerana tidak cukup duit untuk menyewa kenderaan mengikut adat mereka.

“Biasanya mereka memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM1,500 untuk tujuan itu dan kami bersetuju membantunya secara percuma,” kata Syariman ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, mendiang berusia 32 tahun meninggal dunia kerana sakit jantung.

Syariman kemudiannya menaiki kenderaan Alphard milik Amalteam menghantar mayat ke Puchong dan kemudiannya Uncle Kentang menguruskan penghantaran ke Melaka.

“Kami transit di Puchong dan Uncle Kentang akan membawa mayat ke tanah perkuburan Budhha di Ayer Keroh pula,” katanya.

Menurutnya, kumpulan Amalteam membantu urusan jenazah terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan terutama orang Islam di negara ini.

Bagaimanapun, kata Syariman, dalam hal-hal tertentu dan mendesak pihaknya sedia membantu walaupun menguruskan mayat orang bukan Islam seperti yang berlaku hari ini.

Uncle Kentang sebelum ini juga dikenali sebagai individu yang memberikan perkhidmatan van jenazah kepada orang Islam yang tidak berkemampuan di Lembah Klang. – MalaysiaGazette