Home Ekonomi Kadar pengangguran bulan November lalu naik 4.8%

Kadar pengangguran bulan November lalu naik 4.8%

Pekerja melakukan kerja-kerja penghasilan sarung tangan di sebuah kilang yang terletak di Pelabuhan Klang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 24 DISEMBER 2020.
KUALA LUMPUR –  Kadar pengangguran meningkat secara marginal 0.1 mata peratus pada bulan November berbanding bulan sebelumnya kepada 4.8 peratus dengan 764,400 penganggur.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan kecil dalam bilangan guna tenaga dan kadar pengangguran meningkat sedikit pada bulan itu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan secara berperingkat bagi membendung peningkatan drastik kes Covid-19 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada 14 Oktober 2020, yang kemudian diperluaskan ke seluruh negara kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.
Menurutnya, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu.
Bilangan penganggur pada November meningkat sebanyak 2.2 peratus atau bersamaan dengan 16,200 orang, merekodkan 764,400 penganggur (Oktober 2020: 748, 200 orang).
Penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, meningkat 2.3 peratus mencatatkan sejumlah 637, 700 orang (Oktober 2020: 623,100 orang).
Begitu juga penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 126, 700 orang (Oktober 2020: 125,100 orang).
”Pada November, bilangan penduduk bekerja turun sebanyak 11,000 orang kepada 15.20 juta orang (Oktober 2020: 15.21 juta orang) selepas merekodkan trend menaik selama lima bulan berturut-turut.
”Pada bulan tersebut, kategori pekerja meningkat 0.2 peratus (+19,600  orang) kepada 11.78 juta orang. Sebaliknya, golongan yang bekerja sendiri berkurang sebanyak 0.6 peratus merekodkan 2.41 juta orang,” katanya,
Kumpulan ini sebahagian besar adalah terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai-gerai; pekerja bebas; dan pekebun kecil.
Mengikut sektor ekonomi, penduduk bekerja di sektor Perkhidmatan terus meningkat terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong & runcit; Maklumat & komunikasi, Kesihatan kemanusiaan & kerja sosial serta pendidikan.
Bagaimanapun, guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan seperti aktiviti penginapan dan makanan & minuman; pengangkutan & penyimpanan; dan kesenian, hiburan & rekreasi masih dilihat paling terkesan akibat pandemik ini. Sementara itu, sektor pertanian dan perlombongan & pengkuarian kekal dalam trend negatif sejak Ogos 2020, manakala sektor pembuatan dan pembinaan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan.
Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan telah menyusut sebanyak 0.2 mata peratus kepada 65.1 peratus pada November 2020.
Sementara itu, terdapat seramai 142,000 penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara pada November berbanding 183,600 orang yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Kumpulan ini, yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan.
Mengulas lanjut berkenaan kedudukan penawaran buruh, Mohd Uzir berkata, secara keseluruhannya, perubahan yang sedikit berlaku dalam tenaga buruh berbanding bulan sebelumnya dengan tambahan sebanyak 5.2 ribu orang merekodkan 15.96 juta orang pada November 2020.
Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) menurun sedikit iaitu sebanyak 0.1 mata peratus kepada 68.4 peratus (Oktober 2020: 68.5%).
Sementara itu, bilangan di luar tenaga buruh meningkat 0.4 peratus (+27,100  orang) kepada 7.37 juta orang (Oktober 2020: 7.35 juta orang).disebabkan oleh faktor keluarga yang memerlukan aktiviti mencari pekerjaan ditangguhkan untuk seketika.
Merumuskan kedudukan keseluruhan tenaga buruh, beliau berkata, dalam bulan terakhir tahun 2020, kes baharu Covid-19 di Malaysia terus mencatatkan peningkatan, secara purata melebihi 1,500 kes sehari.
Secara keseluruhannya, dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi dan kesihatan yang berterusan di seluruh dunia dan dalam negara, dijangka permintaan buruh yang lebih perlahan berterusan pada Disember 2020.
Sementara itu, penawaran buruh akan kekal kompetitif dalam situasi yang mencabar ini, ujarnya. – MalaysiaGazette