PUTRAJAYA – Demi memerangi rasuah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini melancarkan Kalam Anti Rasuah MAFI (KARMA 2021-2025).
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia bertemakan visi “Peneraju Pertanian Dan Industri Makanan Berintegriti, Telus Dan Mesra Rakyat” menjadi kesinambungan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) sebelum ini.
“Bagi memastikan pelan tindakan tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya, komitmen warga MAFI dan sokongan semua pihak adalah amat diperlukan agar imej MAFI dalam perkhidmatan awam terus meningkat,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Amanat Tahun 2021 bersama warga MAFI di sini hari ini.
Dalam masa yang sama Ronald meminta kepimpinan tertinggi MAFI, jabatan dan agensi menyemak semula peraturan dan prosedur sedia ada yang tidak relevan, bertindih serta membebankan supaya dipermudahkan selaras dengan pembudayaan dan amalan norma baharu pasca Covid-19.
Beliau turut berharap supaya MAFI akan menjadi kementerian yang mesra perniagaan dan berupaya menarik pelaburan ke dalam sektor agromakanan yang memberikan sumbangan kepada ekonomi negara.
“Semua jabatan dan agensi MAFI yang terlibat perlu bekerja secara berpasukan bagi memastikan projek-projek yang dilaksanakan memenuhi kehendak stakeholders atau pihak-pihak berkepentingan,” tambahnya.-MalaysiaGazette